Bahasa Melayu

Perbincangan Xi, Biden Mendalam dan Meluas

CRI2021-11-16 15:33:48
Share
Share this with Close
Messenger Pinterest LinkedIn

Pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping dengan rakan sejawatannya dari Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang berlangsung secara maya pagi tadi, menyaksikan perbincangan secara mendalam mengenai hubungan Beijing-Washington serta isu-isu yang menjadi perhatian bersama.

Xi berkata, selaku dua entiti ekonomi terbesar dunia dan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), China dan AS perlu memperkasakan komunikasi dan kolaborasi, masing-masing mengendalikan hal ehwal dalam negeri sendiri dengan baik, di samping memikul tanggungjawab antarabangsa.

Menurut beliau, adalah perlunya untuk mengembangkan hubungan yang sihat lagi mantap ketika didepani cabaran global antaranya perubahan iklim dan penularan pandemik COVID-19.

Dua negara itu harus saling menghormati, hidup bersama secara damai dan berkolaborasi demi situasi menang-menang.

Xi menyuarakan kesediaannya untuk membina konsensus bersama Biden bagi mendorong hubungan dua hala ke arah positif. Ia merupakan keperluan rakyat, malah juga aspirasi masyarakat antarabangsa.

Pada pandangan Xi, dalam tempoh lima dekad akan datang, China dan AS perlu menemui cara tepat untuk melayan satu sama lain. Ia antara komponen penting dalam perhubungan antarabangsa.

Pada era baharu, adalah amat penting untuk mempertahankan tiga prinsip ketika menguruskan hubungan China-AS, iaitu saling hormat, hidup bersama secara damai serta bekerjasama dan saling untung.

Dua negara tersebut disaran memberi keutamaan kepada empat perspektif, antaranya menggalas tanggungjawab sebagai kuasa besar dan menerajui kerjasama masyarakat antarabangsa untuk menghadapi cabaran utama.

Berasaskan semangat sama rata dan saling untung, pertukaran dalam pelbagai bidang dan di pelbagai peringkat terus dipergiatkan. Pendekatan konstruktif harus diguna pakai ketika mengendalikan perkara sensitif serta percanggahan. Selain itu, koordinasi dan kolaborasi kedua-dua negara perlu dipertingkat apabila berurusan isu hangat.

Ketika memberi penjelasan lanjut berhubung jalan pembangunan dan objektif strategi China, Xi menyatakan, China tiada niat menjajakan jalan sendiri serata dunia, sebalik menggalakkan negara lain supaya menemui jalan pembangunan yang sesuai dengan keadaan sebenar dirinya.

Tegas beliau, pembaharuan dan pintu terbuka merupakan dasar asas China, manakala nilai insani berlandaskan kepada kedamaian, pembangunan, kesamarataan, demokrasi dan kebebasan juga menjadi pegangan negara ini.

Ketika menyebut tentang isu Taiwan, Xi berkata, ketegangan di selat semakin memuncak susulan cubaan pihak berkuasa Taiwan mengejar kemerdekaan dengan bantuan AS serta perbuatan sesetengah pihak di AS sengaja mengekang China dengan mempergunakan Taiwan.

Beijing konsisten dengan pendirian bahawa Taiwan sebahagian wilayah China dan kerajaan Republik Rakyat China adalah satu-satunya kerajaan sah yang mewakili seluruh negara ini.

Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan yang diperlukan akan diambil jika puak pemisah berdegil melakukan provokasi atau pun melampaui garis batasan.

Selain itu, Xi juga menekankan bahawa hak asasi tidak boleh dipergunakan menjadi alasan untuk mencampuri urusan dalaman negara lain. Dialog berhubung isu tersebut harus dilakukan berasaskan prinsip saling hormat.

Share this story on

Messenger Pinterest LinkedIn