Jambatan Lugou – Kecantikan Yang Sukar Ditandingi
"Di sungai ini terdapat sebuah jambatan batu yang sungguh cantik, kecantikannya sangat sukar ditandingi di dunia."
Demikianlah gambaran Marco Polo dalam catatan pengembaraannya di China pada abad ke-13.
Jambatan Lugou, yang juga dikenali sebagai jambatan Marco Polo, letaknya 15 km barat daya pusat bandar Beijing. Ia merupakan antara jambatan batu tertua di utara China dan terkenal pada zaman purba disebabkan pemandangan bulannya yang indah semasa Pesta Kuih Bulan.
Jambatan batu yang menyeberangi sungai Yongding ini panjangnya 266.5 meter dan lebarnya 9.3 meter. Ia dibina antara tahun 1189-1192 dan setelah rosak akibat banjir, dibina semula pada tahun 1698.
Yang menjadikan jambatan Lugou unik adalah ukiran singa pada setiap langkannya. Pada setiap ukiran terdapat seekor singa besar dengan singa-singa kecil yang bersembunyi di kepala, belakang, bawah perut atau pada kakinya. Tiada dua ukiran yang serupa. Ini menimbulkan kesukaran dalam menentukan jumlah sebenar singa di jambatan Lugou.
Siasatan untuk menentukan jumlah ukiran singa telah dijalankan beberapa kali, namun jumlah sebenarnya masih belum diketahui. Dianggarkan terdapat antara 482 hingga 496 ekor singa. Walau bagaimanapun, menurut rekod sejarah pada asalnya terdapat 627 ekor singa.
Bukan sahaja gayanya berbeza, ukiran singa ini juga berbeza usianya. Kebanyakannya diukir pada dinasti Ming (1368–1644) dan Qing (1644–1911), tetapi terdapat juga yang diukir lebih awal lagi iaitu pada dinasti Yuan (1271–1368) dan Jin (1115-1234).
Empat tiang setinggi 4.65 meter yang mengelilingi sebuah tugu peringatan marmar putih berdiri di setiap hujung jambatan. Sebuah tugu merekodkan kisah pembinaan semula jambatan oleh maharaja Kangxi Dinasti Qing (1644-1911) pada tahun 1698, manakala sebuah lagi terukir kalimat 'Bulan Pagi di atas Lugou’, karya kaligrafi maharaja Qianlong, cucu maharaja Kangxi.
Selain terkenal kerana ciri-ciri estetiknya, jambatan Lugou juga dianggap sebagai karya seni bina yang agung. Ia dibina dari batu granit pejal dengan sebuah gerbang pusat yang diapit oleh sepuluh gerbang yang lebih kecil. Setiap tiangnya dilindungi oleh tiang-tiang besi segi tiga yang telah dipasang demi mengelakkan kerosakan akibat banjir dan ais.
Kira-kira 500 meter dari jambatan Lugou terdapat sebuah kota kecil bernama Wanping. Kota kecil ini berukuran 640 meter panjang dan 320 meter lebar dan dibina lebih 360 tahun lalu sebagai berek untuk melindungi Beijing dari pencerobohan tentera pemberontakan pada zaman Dinasti Ming. Ia merupakan satu-satunya jalan keluar dari jambatan Lugou.
Kenangan Pahit di Lugou
Di sebalik keindahan jambatan Lugou tersimpan sebuah kenangan pahit. Pada 7 Julai 1937, ia menjadi saksi kepada pertempuran antara Tentera Revolusi China dan Tentera Imperial Jepun. Pertempuran tersebut menandakan permulaan peperangan anti-pencerobohan tentera Jepun selama lapan tahun (1937-1945).
Pertempuran bermula apabila sebuah kompeni bersenapang tentera Jepun mengambil bahagian dalam latihan medan berhampiran jambatan Lugou pada malam 7 Julai. Seorang komander Jepun mendapati salah seorang askarnya hilang dan mengesyaki tentera China telah menculiknya. Sementara mencari askar yang hilang, kedengaran bunyi tembakan. Pihak Jepun menuduh China melepaskan tembakan, begitu juga sebaliknya.
Kolonel Ji Xingwen mengetuai pertahanan China di jambatan Lugou dengan kira-kira 100 orang askar. Selepas peperangan yang sengit, tentera Jepun berjaya menawan sebahagian daripada jambatan Lugou. Namun pada subuh 9 Julai yang bergerimis, tentera China mendapat bantuan dan berjaya menawan kembali jambatan Lugou.
Muzium Perang Anti-Pencerobohan Jepun
Demi memperingati mereka yang menjadi mangsa peperangan, sebuah muzium memorial dan taman arca Perang Anti-Pencerobohan Jepun dibina dan dibuka kepada orang ramai pada 7 Julai, 1987.
Muzium tersebut mempunyai sejumlah 887 pameran, antaranya menunjukkan strategi peperangan dan konfrontasi, serta perjuangan rakyat China menentang pencerobohan tentera Jepun. Dewan pameran muzium juga memaparkan beberapa hasil karyawan tersohor pada zaman tersebut.
Di taman arca pula terdapat empat kumpulan arca dan sebuah tugu peringatan yang besar. Selain itu, terdapat lebih 1500 gendang batu yang mencatatkan sejarah peperangan. Gendang-gendang batu tersebut berlainan saiz, berongga di tengah-tengah dan bergema apabila diketuk.
Dinding kota Wanping turut mengalami kerosakan dalam perang tersebut. Kesan-kesan serangan bom tentera Jepun masih dapat dilihat pada dinding kota Wanping, yang kini ditanda dengan sebuah plak peringatan.