Bahasa Melayu

Landasan Kereta Api China-Laos, Projek Simbolik BRI

CRI2021-12-02 15:26:08

Landasan kereta api China-Laos mampu membantu Laos mencapai matlamat ke arah “negara saling hubung di daratan”, sekali gus menyumbang kepada peningkatan peluang pekerjaan dan penambahbaikan kehidupan rakyat.

Demikian dinyatakan Menteri Projek Awam dan Pengangkutan Laos, Viengsavat Siphandon dalam temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Menurut beliau, landasan itu berpotensi menjadi laluan antarabangsa yang menghubungkan negara serantau dan dunia, selepas siapnya landasan kereta api China-Thailand dan landasan kereta api Pan-Asia.

"Apabila dihubungkan dengan bandar-bandar pelabuhan di Asia Tenggara kelak, Laos akan mengakses kepada pasaran yang lebih luas," tambah Siphandon.

Sebagai projek simbolik kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), landasan kereta api China-Laos dijadual beroperasi secara rasmi esok.

Landasan sepanjang lebih 1,000 kilometer itu menghubungkan Kunming, ibu kota provinsi Yunnan dan Vientiane, Laos dengan kelajuan 160 kilometer sejam.

Pengoperasian landasan itu akan memendekkan masa perjalanan dari Vientiane ke sempadan dengan China kepada tiga jam sahaja berbanding dua hari sebelum ini.

Dibina menggunakan teknologi dan kelengkapan China, landasan itu dapat disambung terus dengan jaringan landasan kereta api China.

Untuk rekod, projek landasan kereta api China-Laos dimulakan pada Disember 2016.

Pembinaannya menghadapi banyak cabaran dan kesulitan luar biasa kerana ia melintasi kawasan gunung-ganang, lembah dan sungai yang keadaan geografi sangat rumit.

Namun demikian, perlindungan ekologi tetap diutamakan sepanjang pembinaan landasan kereta api tersebut.

Selain menanam tumbuh-tumbuhan yang bersesuaian, usaha mengelakkan hakisan tanah juga dilakukan bagi mengekalkan keindahan landskap semula jadi sepanjang landasan tersebut.

Close
Messenger Pinterest LinkedIn