China Komited Naik Taraf Ikatan dengan ASEAN
Rantau Asia Pasifik, terutamanya Asia Timur yang paling dinamik telah membentuk kerangka kerjasama yang matang dengan wujudnya platform kolaborasi berpaksikan ASEAN.
Antaranya, hubungan rakan dialog China-ASEAN kekal memainkan peranan utama dan menjadi suri teladan dalam kolaborasi serantau.
Demikian ujar Menteri Luar China, Wang Yi dalam ucapannya menerusi pautan video pada Persidangan Kumpulan Pemikir Global, pagi tadi.
Wang turut mengulangi pendirian China yang menyokong pembinaan Komuniti ASEAN dan mendukung blok itu terus memainkan peranan lebih besar di rantau Asia Pasifik.
Sidang kemuncak memperingati ulang tahun ke-30 hubungan dialog China-ASEAN dijadual diadakan pada Isnin depan.
Wang memaklumkan bahawa Presiden China, Xi Jinping akan menghadiri sidang itu dan bersama-sama pemimpin negara ASEAN melakar cetak biru hubungan kedua-dua pihak pada masa hadapan.
Sempena sidang tersebut, kedua-dua pihak juga akan merumuskan pencapaian dan pengalaman pembangunan hubungan sepanjang tiga dekad lalu, di samping menentukan hala tuju hubungan China-ASEAN.