Ikatan China, ASEAN Kekal Pemacu Utama Kemakmuran Rantau
Hubungan China-ASEAN melalui pembangunan selama tiga dekad, melakar kejayaan dalam kerjasama hingga menjadi contoh baik kepada rantau Asia Pasifik, malah pemacu utama kemakmuran Asia Timur.
Demikian ujar Penolong Menteri Perdagangan China, Ren Hongbin semasa berlangsungnya forum kerjasama ekonomi dan perdagangan sempena 30 tahun hubungan dialog China-ASEAN, di Nanning, wilayah Guangxi pada Sabtu.
Ren berkata, China dan ASEAN menjadi rakan dagang terbesar satu sama lain, dengan nilai dagangan menokok sebanyak 85 kali ganda sejak 30 tahun lalu sehingga kini.
Sementara, ASEAN kekal sebagai destinasi pelaburan serta sumber pelaburan langsung asing (FDI) utama China.
Untuk rekod, jumlah keseluruhan pelaburan dua hala melepasi USD310 bilion (RM1.28 trilion), manakala terdapat lebih 20 zon usaha sama ekonomi dan perdagangan berjaya dibangunkan.
Statistik rasmi menunjukkan, import dan eksport China kepada ASEAN bagi Januari hingga Ogos naik 33.3 peratus kepada USD553.9 bilion (RM2.29 trilion), menduduki 14.5 peratus daripada nilai keseluruhan dagangan luar China.
Ren turut menyuarakan kesediaan China untuk terus mengintegrasikan strategi pembangunan dengan ASEAN dan menggerakkan lagi usaha sama melaksanakan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) demi melonjakkan hubungan dagang dua hala ke tahap lebih tinggi.