China Harap Myanmar Capai Kedamaian dan Kestabilan
Sebagai sahabat kepada Myanmar dan ASEAN, China berharap agar kedamaian dan kestabilan dapat diwujudkan di negara itu.
Demikian kata Menteri Luar China, Wang Yi ketika berhubung dengan Duta Khas ASEAN ke Myanmar merangkap Menteri Luar II Brunei Darussalam, Erywan Mohd Yusof melalui telefon pada Rabu.
Wang terlebih dulu menyatakan penghargaannya atas sumbangan Brunei terhadap perkembangan hubungan China-ASEAN selaku pengerusi bergilir ASEAN serta sokongan Brunei dalam meningkatkan status hubungan China-ASEAN.
“Brunei diharapkan terus memainkan peranan positif bagi memastikan mesyuarat peringatan sempena ulang tahun ke-30 hubungan dialog China-ASEAN berjaya diadakan dan membuahkan hasil yang lebih banyak dan penting,” ujarnya.
Setelah mendengar taklimat mengenai situasi semasa di Myanmar, Wang menyatakan keyakinan terhadap peranan istimewa yang dimainkan Erywan dalam membantu pelbagai pihak di Myanmar untuk mencari penyelesaian politik dalam kerangka perlembagaan melalui dialog dengan usaha yang selaras dengan konsensus lima perkara yang dicapai pemimpin ASEAN mengenai krisis Myanmar pada April lalu.
Susulan itu, Wang turut mengemukakan empat cadangan kepada Erywan termasuk bersikap rasional dan pragmatik ketika mengendalikan hubungan dengan semua pihak Myanmar untuk membina kepercayaan secara beransur-ansur dan menghulurkan bantuan yang berkesan kepada Myanmar dalam usaha melawan pandemik COVID-19.
Selain itu, Anggota Dewan Negara China itu juga mencadangkan supaya sikap sabar dan tekad perlu dikekalkan sambil menggalakkan rundingan damai untuk memulakan semula proses demokrasi di Myanmar, serta meminta agar sentiasa berwaspada dan menentang tindakan campur tangan dalam hal ehwal dalaman Myanmar oleh kuasa di luar rantau in.
Pada masa sama, Wang menegaskan bahawa dasar hubungan persahabatan China diamalkan untuk semua rakyat Myanmar dan China komited memberikan bantuan kecemasan yang diperlukan Myanmar melalui pelbagai saluran.
Tambahan lagi, beliau turut menekankan China akan menyokong sepenuhnya utusan khas ASEAN dalam melaksanakan tugasannya dan bersedia terus memainkan peranan membina bagi menyelesaikan isu Myanmar secara politik.