Perwakilan China dan Kerajaan Laos Saling Tukar Pendapat
China dan Laos perlu melaksanakan permuafakatan peringkat tinggi secara serius, di samping melakukan penyelarasan strategik, mengintensifkan kerjasama pragmatik dan mendorong pembentukan komuniti berkongsi nasib.
Demikian ujar Duta Besar China ke Laos, Jiang Zaidon ketika mempengerusikan Dialog antara Kerajaan Laos dan Perusahaan Modal China ke-5 secara bersama dengan Timbalan Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone di Vientiane, Laos baru-baru ini.
Difahamkan, dialog tersebut telah disertai oleh pegawai dari 14 kementerian Laos serta perwakilan agensi modal China dari pelbagai bidang.
Ketika berlangsungnya dialog itu, perwakilan China telah mengeluarkan beberapa saranan khususnya dalam bidang kewangan, infrastruktur pengangkutan, pembinaan zon penerokaan, bekalan elektrik dan perlombongan, pemprosesan dan perkilangan serta kerjasama pertanian.
Selain itu, antara industri lain yang turut disentuh pada dialog itu adalah termasuk pengawalan pasaran mata wang asing, kemudahan lalu lintas trans sempadan dan peningkatan keupayaan komitment kerajaan.
Sementara itu, Sonexay Siphandone yang juga merangkap Menteri Perancangan dan Pelaburan Laos berjanji untuk mengambil perhatian terhadap kesemua saranan yang dikemukakan.
Beliau berkata, selain memberi jawapan balas secara bertulis, pihaknya akan menyampaikan saranan-saranan tersebut kepada jabatan yang berkaitan, sekali gus menguruskan pelaksanaan selanjutnya.
Pada masa sama, dengan berlatarbelakangkan penularan wabak COVID-19 yang berlarutan serta kemorosotan ekonomi sejagat, Sonexay turut menyifatkan dialog kali ini sebagai amat signifikan, selain selaras dengan momentum ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik dan Tahun Persahabatan kedua-dua negara.
Kerajaan Laos juga mengulangi tekad untuk memperhebat kerjasama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), menambah baik kesalinghubungan dengan China, mengintensifkan penarikan pelaburan syarikat modal China, dan bersedia menarik lebih banyak perusahaan ke Laos menerusi dialog dan interaksi.