Bahasa Melayu

Titian Sastera Malaysia-China Kongsi Mimpi Rumah Agam Merah 17 Ogos

CRI2021-08-14 14:06:55

Untuk mempromosi pertukaran idea kesusasteraan antara Malaysia dan China, Kelab Pembaca Sastera Malaysia-China, yang diasaskan oleh Persatuan Penulis China dan diberi hak kepada Pusat Kebudayaan Han Malaysia, akan dilancarkan pada jam 4 petang, 17 Ogos ini melalui dalam talian.

Majlis pelancaran tersebut akan disempurnakan oleh Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Goh Hin San, Presiden Pusat Kebudayaan Han Malaysia (HAN), Tie Ning, Pengerusi Persatuan Penulis China, serta beberapa ahli jawatankuasa Persatuan Penulis China lain.

Pada jam 8 malam dalam hari yang sama, sesi bicara buku sastera terjemahan China Titian Sastera bawah Kelab Pembaca Sastera Malaysia-China dengan kerjasama DBP, HAN dan Yayasan karyawan Malaysia akan dimulakan dengan perkongsian tentang Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah.

Titian Sastera turut diadakan sempena ulang tahun penubuhan DBP ke-65 dan Kempen Dekad Membaca Kebangsaan 2021-2030. Kelab pembaca tersebut akan meneruskan tiga siri bicara buku lagi pada bulan seterusnya.

Titian Sastera akan disiarkan ke seluruh dunia melalui laman web khas DBP seperti jendeladbp.my, dbptv dan dbpradio, media sosial DBP seperti Instagram, Twitter, Facebook, Telegram, Youtube dan Tikkok, laman Facebook Pusat Kebudayaan Han Malaysia dan Yayasan Karyawan Malaysia.

Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah versi Bahasa Melayu diterbitkan bersama oleh Pusat Kebudayaan Han dan DBP pada tahun 2020. Proses penterjemahan buku ini memakan masa selama beberapa tahun sebelum berjaya dihasilkan oleh beberapa ahli Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia.

Tema bagi sesi pertama iaitu "Mimpi Rumah Agam Merah dari Perspektif Pertukaran Masyarakat, Keluarga, Cinta dan Budaya Malaysia" akan dikendalikan oleh Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong dari Universiti Sains Malaysia (USM) bersama tiga ahli panel termasuk editor Zaleha Ahmat, pengasas Pusaka Eddin Khoo dan Dr Han Xiao, pensyarah dari Beijing Foreign Studies University.

Pihak penganjur juga akan mengadakan Pertandingan Rensesi Buku Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah dengan menawarkan hadiah pertama bernilai RM1,000, hadiah kedua RM700, hadiah ketiga RM500 dan tiga hadiah sagu hati masing-masing bernilai RM300. Para peserta boleh menghantar hasil rensesi buku dalam tempoh sebulan selepas majlis itu, iaitu sebelum 17 September kepada Pusat Kebudayaan Han Malaysia.

Setakat ini, pelajar-pelajar sekolah dari Sekolah Menengah Persendirian Chong Hwa Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Foon Yew, Kulai, Johor Bahru telah mengambil bahagian dengan mendaftarkan diri melalui sekolah masing-masing. Peserta yang berminat boleh menghubungi 017-3330226, atau info@hccm.com.my.

Close
Messenger Pinterest LinkedIn