Sikap Hormat Dari Empat Aspek Dalam Isu Laut China Selatan
Anggota Dewan Negara merangkap Menteri Luar China, Wang Yi menyeru pelbagai pihak berkenaan memberi hormat kepada fakta sejarah, undang-undang, konsensus dan negara-negara serantau dalam isu Laut China Selatan.
Ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-11 yang diadakan secara maya malam semalam, Wang Yi turut menggesa kuasa dari luar rantau ini menghentikan campur tangan dalam isu Laut China Selatan.
Wang Yi berkata, China merupakan negara yang pertama menemui, menamakan dan meneroka Nanhai Zhudao (kepulauan Laut China Selatan) dan kawasan perairan yang berkenaan, dan sebagai pihak berdaulat melaksanakan pemerintahan yang berterusan, damai dan berkesan ke atas pulau dan kawasan perairan tersebut. Selepas Perang Dunia II, kerajaan China menyambung semula pemerintahan ke atas Nanhai Zhudao yang pernah diduduki secara haram oleh Jepun. Tindakan ini selaras dengan Deklarasi Kaherah dan Perisytiharan Potsdam yang menjadi komponen penting dalam ketertiban antarabangsa pasca Perang Dunia II.
Menurut Wang, pada tahun 1950-an dan 1960-an, Amerika Syarikat(AS) pernah berulang kali mengemukakan permohonan kepada China untuk menjalankan kerja mengukur di Nansha Qundao (Kepulauan Nansha). Peta rasmi yang diterbitkan Jepun dan negara-negara lain juga melabelkan Nansha Qundao sebagai wilayah China. Fakta yang tercacat dalam dokumen sejarah tersebut tidak boleh dinafikan.
Sementara itu, menurut undang-undang antarabangsa, China mempunyai kedaulatan ke atas Nansha Qundao dan juga sewajarnya mempunyai hak dan kepentingan maritim yang setimbal. Hal ini tidak membelakangi peraturan Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut(UNCLOS). China tidak pernah mengubah asas tuntutannya dan memfailkan sebarang dakwaan baharu. Dengan ini, tuduhan mengenai China membuat tuntutan ke atas semua kawasan perairan dalam garis titik sebagai perairan dalaman dan laut milik sendiri, dilihat sengaja memesongkan pendirian China.
Wang Yi menegaskan, penyelesaian pertikaian secara damai oleh negara-negara penuntut melalui perbincangan dan rundingan merupakan komitmen bersama China dan negara-negara ASEAN dalam Deklarasi Tatalaku Pihak-pihak Berkepentingan di Laut China Selatan. Dengan seawal mungkin menguatkuasakan Kod Tatalaku di Laut China Selatan yang lebih kondusif merupakan matlamat baharu China dan negara-negara ASEAN.
China dan negara-negara ASEAN perlu menyedari kuasa dari luar rantau ini yang berniat jahat dan menyatakan "tidak" dengan tegas terhadap sebarang kegiatan yang menggugat keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan serta menjejaskan perpaduan dan kerjasama negara-negara serantau.