China, ASEAN Bina Era Kerjasama Baharu - Wang Yi
ASEAN diutamakan dalam hubungan luar China, ujar Menteri Luar China, Wang Yi ketika menghadiri sidang menteri luar ASEAN-China (10+1) yang diadakan secara maya pada Selasa.
Menurut beliau, sejak sidang menteri luar tahun lalu, pemimpin kedua-dua pihak berjaya mengekalkan komunikasi strategik dan memberikan panduan politik dalam hubungan antara China dengan ASEAN.
Wang menjelaskan, kedua-dua pihak telah mencapai kemajuan baharu dalam kerjasama melawan pandemik COVID-19, sekali gus mencerminkan hubungan erat di rantau ini.
Di samping itu, hubungan kerjasama perdagangan dan pelaburan antara China dengan ASEAN berkembang baik, sementara kerjasama dalam pembangunan mampan giat diperkasakan.
Pada masa yang sama, rundingan tentang Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC) turut mencapai kemajuan penting.
Tambah beliau, China menganggap ASEAN sebagai rakan utama dalam perjuangan memerangi wabak yang menyaksikan lebih 190 juta dos vaksin COVID-19 disediakan kepada 10 negara anggota ASEAN, serta sumbangan sejumlah besar peralatan melawan wabak.
Wang berkata, China dan ASEAN telah membina laluan hijau untuk mengekalkan pengedaran barangan serta laluan mudah bagi keluar masuk kakitangan dalam memelihara keselamatan, kestabilan dan kelancaran rantai industri serantau serta mengatasi impak wabak.
Untuk rekod, jumlah perdagangan antara China dengan ASEAN mencecah USD41 bilion pada setengah tahun pertama tahun ini dan bertambah 38.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, sekali gus mengekalkan status ASEAN sebagai rakan dagang terbesar China.
Pada mesyuarat menteri luar kali ini, China menzahirkan kesediaan untuk terus mempergiat kerjasama memerangi wabak, berusaha gigih memulihkan ekonomi, memperkukuh rangka kerjasama serantau yang sedia ada, dan memelihara kedamaian serta kestabilan di Laut China Selatan.