Bahasa Melayu

Keusahawan Belia Perkasakan Kerjasama Yiwu-ASEAN

CRI2021-08-03 14:36:12

Bertemakan "ASEAN Youths, Run with Yiwu", program latihan keusahawanan belia global dilancarkan di Yiwu, provinsi Zhejiang pada Isnin.

Dianjurkan bersama oleh Persatuan China-ASEAN, Misi China ke ASEAN, Pusat China-ASEAN serta kerajaan provinsi Zhejiang dan bandar Yiwu, upacara perasmian program tersebut diadakan secara hibrid.

Datuk Bandar Yiwu, Wang Jian ketika berucap pada majlis perasmian menyatakan harapannya untuk mempergiat kerjasama perdagangan import, e-niaga rentas sempadan dan kesalinghubungan dengan pelbagai negara anggota ASEAN.

"Presiden Xi Jinping memanggil Yiwu sebagai pusat komoditi kecil dunia dan merupakan bandar pelabuhan darat yang mewujudkan kesalinghubungan dengan seluruh dunia.

"Dengan status ASEAN sebagai salah satu rakan dagang yang terbesar bagi Yiwu serta terjalinnya hubungan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), prospek kerjasama antara Yiwu dengan ASEAN akan lebih cerah," ujar Wang.

Sementara itu, Duta Thailand ke China, Arthayudh Srisamoot ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut menyatakan bahawa program latihan kali ini akan membina jambatan penting bagi pertukaran persahabatan dalam kalangan belia, selain mampu memperkasakan hubungan antara China dengan ASEAN dan kerjasama di Asia Timur.

Untuk rekod, program yang dimulakan pada 2018 ini mempunyai objektif untuk membina platform merangkumi latihan vokasional, pengeraman keusahawanan, pertukaran kebudayaan serta mempromosi bandar.

Dalam tujuh sesi latihan yang telah diadakan sebelum ini, ia telah disertai oleh 236 belia dari lebih 60 negara.

Close
Messenger Pinterest LinkedIn