Senarai Negatif FTZ: China Nyahsenarai Fasal Berkaitan Industri Pembuatan
China mengemaskini senarai negatif akses modal asing di seluruh negara dan zon perdagangan bebas (FTZ) yang akan berkuatkuasa pada 1 Januari depan.
Menurut Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Kebangsaan (NDRC) dan Kementerian Perdagangan China pada Isnin, versi tahun 2021 itu adalah lebih pendek berbanding 2020, iaitu daripada 33 dan 30 fasal kepada 31 dan 27 fasal.
Dimaklumkan, fasal yang berkaitan dengan pembuatan telah dihapus dalam senarai negatif FTZ buat pertama kalinya.
Dalam sektor pembuatan automobil, sekatan terhadap kadar saham dipegang modal asing dalam pengeluaran kereta telah dibatalkan.
Manakala, bagi sektor pembuatan kemudahan radio dan televisyen, sekatan terhadap pelaburan modal asing dalam pengeluaran kemudahan penerima penyiaran televisyen dari satelit akan turut sama dibatalkan.
Naib Pengarah Jabatan Modal Asing NDRC, Wu Hongliang menyifatkan bahawa sektor pembuatan di FTZ kini dibuka secara menyeluruh terhadap pelaburan asing, selain turut dianggap sebagai langkah percubaan dalam pelonggaran akses industri perkhidmatan.
Dengan mengambil momentum permulaan Rancangan Lima Tahun (FYP) ke-14 dan ulang tahun ke-20 keanggotaan China dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), China juga giat memendekkan senarai negatif itu, menaiktaraf keterbukaan dan mendorong pembangunan ekonomi berkualiti tinggi.
Selain itu, China turut berkongsi peluang pembangunan dengan dunia, menggalakkan globalisasi yang lebih terbuka, inklusif, seimbang dan saling untung.
Untuk rekod, pada 11 bulan pertama tahun ini, China telah menggunakan pelaburan asing sebanyak RMB1.0422 trilion (RM683.9 bilion), iaitu meningkat 15.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.