Bahasa Melayu

Masjid Guilin, Guangxi

CRI2018-12-06 10:07:27

Masjid Guilin terletak di Jalan Ximenwai Bandar Guilin, Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi,China. Masjid itu dibina pada abad ke-12. Pada tahun 1661 hingga 1664 Masihi, Ma Xiong, komander kawasan Guangxi yang berasal dari Provinsi Ningxia dan merupakan penganut Islam yang warak telah menderma wang untuk memperluas masjid itu dan membina semula ruang sembahyang masjid tersebut. Masjid Guilin bercirikan seni bina tradisional Cina. Menurut buku Seni Bina Islam Cina, ruang sembahyang Masjid Guilin merupakan salah satu ruang sembahyang yang terbesar antara pelbagai masjid di China.

Semasa perang antipencerobohan tentera Jepun, Bandar raya Beijing telah diduduki oleh pasukan tentera Jepun. Maktab Chengda, sekolah agama Islam yang terkenal di China terpaksa dipindahkan ke bandar Guilin. Seramai 500 orang penuntut dan pensyarah yang dipimpin oleh Ma Songting, seorang imam yang tersohor meneruskan pengajian tentang agama Islam di masjid tersebut. Pada bulan November 1944, Bandar Guilin diceroboh pasukan tentera Jepun dan Masjid Guilin musnah dalam peperangan tersebut.

Setelah China memenangi perang antipencerobohan tentera Jepun, umat Islam tempatan mengumpulkan derma dan membina semula ruang sembahyang tersebut pada tahun 1947. Selain itu, Sekolah Pengajian Bahasa Arab Guangxi juga ditubuhkan di Masjid Guilin.

Apabila Republik Rakyat China ditubuhkan pada tahun 1949, pihak berkuasa berusaha melindungi Masjid Guilin. Pada tahun 1979, umat Islam tempatan mengumpul derma atas anjuran Persatuan Islam Guilin untuk membina semula Masjid Guilin. Pada masa ini, kira-kira 4,500 orang penduduk etnik Hui yang beragama Islam tinggal secara berkelompok di sekitar Masjid Guilin.

Close
Messenger Pinterest LinkedIn