Bahasa Melayu

Penduduk Xinjiang Nikmati Kesejahteraan Hidup

CRI2021-06-21 15:00:43

Data mengenai kehidupan penduduk di Xinjiang dari segenap aspek seperti populasi, jangka hayat, pendidikan dan perumahan memberi indikator bahawa kehidupan semakin baik di wilayah itu.

Seiring dengan peningkatan taraf hidup, perubatan dan kesihatan, jumlah penduduk Xinjiang turut meningkat dari 4.33 juta pada tahun 1949 kepada 25.85 juta pada tahun 2020.

Manakala, jangka hayat purata penduduk tempatan pula meningkat dari 30 kepada 74.42 tahun.

Selain itu, projek pemeriksaan fizikal turut diperkenalkan di Xinjiang secara percuma untuk dijalani penduduk pada setiap tahun.

Untuk itu, lebih 87 juta orang telah menerima pemeriksaan tersebut sehingga akhir tahun 2020.

Dalam bidang pendidikan pula, pada awal 1950-an, kadar persekolahan kanak-kanak hanya mencatat 20 peratus ke bawah, dengan kadar buta huruf mencatat 90 peratus.

Kini, sistem pendidikan wajib selama sembilan tahun telah dilaksanakan di seluruh wilayah Xinjiang, manakala liputan pendidikan prasekolah selama tiga tahun serta pendidikan dasar selama 12 tahun turut berjaya dicapai di selatan wilayah tersebut.

Selain pendidikan percuma, kanak-kanak prasekolah di Xinjiang juga menikmati tiga kali makan percuma serta makanan ringan setiap hari.

Turut difahamkan, setiap keluarga dapat menjimatkan perbelanjaan pendidikan prasekolah sebanyak RMB2,800 (RM1,647) setiap tahun.

Selain itu, Xinjiang telah menyelesaikan projek perumahan bagi lebih 2.68 juta penduduk di luar bandar sejak 2011.

Sejak Rancangan Pembangunan Lima Tahun ke-13 mula dilaksanakan pada 2016, Xinjiang telah memperuntukkan sejumlah RMB13.2 bilion (RM7.7 bilion) bagi lebih 400 projek untuk menjamin dan meningkatkan keselamatan air minum di kawasan luar bandar.

Langkah tersebut berjaya menyelesaikan masalah keselamatan air minuman untuk 1.52 juta orang.

Sementara itu, kesemua 67 kampung yang terletak di kawasan pedalaman gurun dan kawasan pergunungan yang terpencil di selatan Xinjiang telah disediakan bekalan air paip bersih.

Close
Messenger Pinterest LinkedIn