Komunikasi Berkesan
Komunikasi adalah proses penyampaian atau pemindahan mesej daripada seseorang individu kepada individu lain, dengan harapan dapat menghasilkan maklum balas atau respon yang dihajati.
Berkomunikasi secara berkesan telah menjadi satu kemahiran penting yang harus dikuasai oleh setiap orang.
Kemahiran ini penting bagi memastikan maklumat yang ingin disampaikan dapat diterima sepenuhnya, sedangkan komunikasi yang kurang efektif akan mengundang salah faham.
Untuk memastikan komunikasi yang kita lakukan dapat memberi kesan positif, beberapa teknik perlu diberikan keutamaan, termasuk mengenal siapa yang kita bercakap, menggunakan bahasa yang mudah difahami, mengenal pasti tujuan berkomunikasi, mengawal emosi dan memberi kesempatan kepada penerima mesej untuk menyampaikan pandangannya.
Dalam pada itu, mengenal sasaran kita bercakap amat penting. Hal ini tergambar dalam peribahasa China "Dui Niu Tan Qin" atau "Main Kecapi di Depan Lembu", yang bermaksud bercakap tanpa melihat sasaran hingga menyebabkan sasaran tersebut tidak faham akan percakapan itu.
Sekarang, peribahasa ini juga membawa erti, menjelaskan perkara-perkara yang rumit kepada orang yang bodoh, hanyalah suatu usaha yang sia-sia sahaja. Ia menasihati kita supaya mengenal sasaran sebenar terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang tindakan. Dengan yang demikian, barulah usaha yang kita lakukan menghasilkan kesan yang memuaskan.