Zheng Chenggong, Pahlawan Bangsa China
Zheng Chenggong merupakan seorang pahlawan bangsa China. Pada abad ke-17, beliau memimpin armada China menyeberangi laut dan berjaya membebaskan Taiwan yang diduduki oleh kolonialis Belanda dan mengusir mereka. Beliau telah membuat sumbangan besar bagi kesatuan China.
Zheng Chenggong dilahirkan di Nan'an, Fujian, di tenggara China pada tahun 1624. Bapanya Zheng Zhilong ialah seorang ketua kumpulan bersenjata tempatan dan ibunya ialah warga Jepun.
Zheng Chenggong hidup semasa pemerintahan Dinasti Qing yang ditubuhkan oleh etnik Manchu di bahagian timur laut China melancarkan peperangan setahun demi setahun terhadap pemerintahan Dinasti Ming yang ditubuhkan oleh etnik Han untuk menggulingkan pemerintahan Dinasti Ming dan memerintah seluruh China.
Potret Zheng Chenggong
China merupakan sebuah negara yang berbilang etnik. Akan tetapi, pemerintahan yang ditubuhkan oleh etnik Han yang merupakan etnik utama di China telah memerintah China pada pelbagai dinasti dalam sejarah feudal yang sekian lama masanya kecuali pemerintahan Dinasti Yuan yang ditubuhkan oleh etnik Mongol dan pemerintahan Dinasti Qing yang ditubuhkan oleh etnik Manchu. Pada masa yang silam, kaum intelektual dan tokoh lapisan atasan etnik Han sentiasa tidak mengiktiraf pemerintahan yang ditubuhkan oleh etnik minoriti seperti pemerintahan Dinasti Yuan dan Dinasti Qing. Dalam peperangan yang dilancarkan oleh pemerintahan Dinasti Yuan untuk menggulingkan pemerintahan Dinasti Song pada abad ke-13 dan peperangan yang dilaksanakan oleh pemerintahan Dinasti Qing bagi menjatuhkan pemerintahan Dinasti Ming pada abad ke-17, ramai pujangga dan panglima tentera etnik Han telah menceburi peperangan untuk melawan pencerobohan tentera pemerintahan etnik minoriti dan membela pemerintahan etnik Han.
Pada tahun 1646, tentera pemerintahan Dinasti Qing telah melancarkan serangan terhadap saki-baki tentera pemerintahan Dinasti Ming di Fujian. Zheng Zhilong, bapa kepada Zheng Chenggong terpaksa menyerah diri terhadap pemerintahan Dinasti Qing, manakala Zheng Chenggong telah berjaya melarikan diri bersama-sama dengan pasukan tenteranya. Dengan usaha beberapa tahun selepas itu, Zheng Chenggong telah mempunyai pasukan tenteranya yang terdiri daripada lebih 100 ribu askar dan beberapa ratus kapal perang. Beliau berjaya mengawal kawasan pantai tenggara dan selatan China dan bersiap untuk melancarkan peperangan terhadap tentera Dinasti Qing bagi memulihkan Dinasti Ming.
Patung batu Zheng Chenggong di Gulangyu, Xiamen China
Pada masa itu, negara-negara industri barat sedang giat menduduki tanah jajahannya masing-masing. Kolonialis Belanda telah menduduki pulau Taiwan China pada tahun 1624. Mereka bukan sahaja melakukan penindasan kejam terhadap rakyat Taiwan, tetapi juga sentiasa melanggar kawasan pantai Fujian dan Guangdong China. Ini telah menimbulkan kemarahan rakyat China.
Demi menubuhkan pangkalan bagi berkonfrontasi terhadap tentera Dinasti Qing dalam masa yang panjang, Zheng Chenggong mengambil keputusan untuk mengusir kolonialis Belanda dan membebaskan Taiwan. Selepas mengadakan persiapan yang cukup, Zheng Chenggong memimpin pasukan tentera yang berjumlah 25 ribu askar dengan menaiki beberapa ratus kapal perang menyeberangi laut bagi menyerang tentera Belanda di Taiwan. Dengan bantuan rakyat Taiwan, pasukan tentera pimpinan Zheng Chenggong telah berjaya mendarat di pulau Taiwan di luar dugaan kolonialis Belanda.
Kubur Zheng Chenggong di Sichuan, China
Rakyat Taiwai menyokong operasi tentera pimpinan Zheng Chenggong untuk membebaskan Taiwan. Mereka menyediakan makanan dan arak kepada tentera Zheng Chenggong, malah ramai pemuda Taiwan menganggotai pasukan tentera Zheng Chenggong, termasuklah sejumlah hamba orang kulit hitam yang dirampas oleh kolonialis Belanda. Dalam peperangan yang berlangsung kira-kira setahun, 2000 orang askar Belanda terbunuh dan dicederakan. Tentera Belanda telah menyerah diri pada 1 Februari tahun 1662, pulau Taiwan yang diduduki oleh kolonialis Belanda selama 38 tahun telah kembali ke pangkuan tanah air.
Selepas mengusir kolonialis Belanda, Zheng Chenggong melaksanakan penerokaan di Taiwan. Beliau menubuhkan kerajaan tempatan, menggubal undang-undang, menubuhkan sekolah, mengembangkan pertanian dan perniagaan luar. Beliau telah menjalin hubungan perniagaan dengan Jepun, Singapura, Vietnam, Indonesia dan negara-negara lain. Pelbagai dasar yang dilaksanakan oleh Zheng Chenggong di Taiwan telah mendapat sokongan rakyat Taiwan.