Pesta Songkran, Sambutan Tahun Baharu di Xishuangbanna
Asal usul Pesta Songkran, ada kaitan dengan legenda yang popular dalam kalangan etnik Dai. Kononnya, pada masa dahulu terdapat syaitan yang sangat kejam tinggal di Xishuangbanna yang indah dan subur itu. Syaitan ini telah menculik tujuh orang gadis yang cantik untuk dijadikan isterinya. Gadis-gadis yang memendam rasa benci terhadap syaitan itu bersama-sama memikirkan cara untuk membunuh syaitan tersebut. Pada suatu malam, isteri yang paling muda bernama Nong Xiang menyediakan makanan yang paling sedap dan arak, dan terus-menerus mengisi cawan syaitan sehingga akhirnya syaitan mabuk dan mendedahkan kelemahannya yang membawa padah. Syaitan yang tidak mengenal gentar itu rupa-rupanya sangat takut jika lehernya dibelit dengan rambutnya sendiri. Gadis yang pintar itu mencabut sehelai rambut merah dari kepala syaitan dengan berhati-hati dan segera membelit leher syaitan itu dengan sekuat-kuatnya. Memang betul kepala syaitan terpenggal dan terjatuh lalu berubah menjadi sebiji bola api. Ke mana sahaja bola api itu bergolek, api iblis merebak lalu menyebabkan rumah-rumah buluh terbakar dan tanaman turut musnah. Untuk memadamkan api iblis, Nong Xiang menyambar kepala syaitan itu, sementara enam orang isteri yang lain terus-menerus menyimbah air ke atasnya dan akhirnya berjaya memadamkan api iblis pada bulan keenam dalam kalendar etnik Dai. Akhirnya penduduk Dai mula menikmati kehidupan yang aman dan bahagia. Sejak itu menyimbah air menjadi satu tradisi dalam sambutan tahun baharu masyarakat tempatan. Sekarang, tradisi itu sudah menjadi satu bentuk acara untuk sama-sama memohon restu.
“Mencurahkan” Restu Anda
Pada bulan April ketika bahagian utara China masih dingin, daerah Xishuangbanna, Lincang dan Dehong di provinsi Yunnan sudah mendapat “bayang-bayang” musim panas dan di mana-mana saja bunga-bungaan yang memekar indah dan semerbak mewangi, mewarnai dan mengharumi suasana. Pesta Songkran yang membuatkan ramai orang begitu teruja itu, justeru jatuh pada musim yang panas dan mempesonakan ini.
Bagi penduduk etnik Dai yang tinggal di tebing Sungai Lancang dan Ruili, Pesta Songkran merupakan satu perayaan tradisional untuk bersuka ria dan bergembira serta disambut dengan penuh kemeriahan. Pada hari perayaan ini, penduduk tempatan, tidak kira jantina, tua atau muda, semuanya akan memakai pakaian yang cantik untuk menyertai upacara memandikan patung Buddha dan diikuti acara menyimbah air untuk saling mendoakan kebahagiaan.
Acara menyimbah air terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Wen Po (menyimbah air dengan lemah lembut atau dengan cara yang sopan) dan Wu Po (menyimbah air dengan agresif). Wen Po merujuk kepada cara merenjiskan air suci dengan menggunakan daun puding atau pencedok. Dengan iringan rentak muzik etnik Dai yang merdu, beribu-ribu orang menari-nari sambil menjerit “Air! Air! Air!”. Apabila ditambah pula dengan bunyi pukulan dram dan gong yang bergema, suasananya sungguh mengagumkan.
Baik di kawasan bandar mahupun di pelbagai destinasi pelancongan, medan-medan simbah air sudah pun menjadi satu “lautan orang yang riang ria dan teruja dengan air”.
Pada hari perayaan ini, mungkin anda hanya bersiar-siar di jalan raya. Namun anda juga mungkin akan tiba-tiba diserang bertubi-tubi dengan simbahan air oleh penduduk tempatan. Kemesraan orang tempatan juga akan membuat anda segera larut dalam suasana yang riang gembira itu. Ketika ini, anda akan dapat merasai sifat “berani dan liar” yang dipamerkan oleh orang timur yang terkenal dengan sifat lemah lembutnya.
Ketika perayaan Songkran berlangsung, anak-anak muda etnik Dai juga akan memainkan permainan membaling dompet di kawasan lapang. Dompet sulaman yang berisi kapas dan biji kapas, dan dihiasi dengan lima kuntum bunga pada empat sudut dan tengahnya itu, digunakan sebagai simbol cinta. Mula-mula mereka membaling dompet ke arah sesama sendiri tanpa sasaran. Kemudian beransur-ansur dompet dibaling ke arah orang yang disukai. Apabila ada anak gadis dengan sengaja membuat si pemuda gagal menangkap dompet yang dibalingnya, si pemuda akan memberikan hadiah yang disediakan sebelum ini kepada anak gadis itu. Kemudian mereka berdua akan meninggalkan kumpulan orang ramai itu dan pergi ke tempat yang sunyi untuk saling meluahkan rasa hati.
Air, Sumber Segala-galanya
Hampir setiap tamadun yang mengalami perkembangan tidak dapat dipisahkan daripada “asuhan dan pupukan” air. Namun tidak ada satu pun yang mempunyai hubungan yang begitu rapat dengan air berbanding masyarakat etnik Dai. Ketika anda memasuki kampung-kampung etnik Dai di daerah Xishuangbanna dan Dehong, yang terbentang di depan mata anda ialah satu pemandangan ekologi yang mempesonakan, seolah-olah hamparan lukisan yang indah — di depan kampung, air sungai yang jernih dan hijau mengalir dengan tenang; di tepi kampung, buluh dan pokok tumbuh subur dan menghijau, daun-daun yang hijau dan bunga-bungaan yang merah saling menyerikan, bunga-bungaan yang memekar indah dan buah-buahan yang masak ranum mengeluarkan bau yang harum mewangi. Deretan rumah buluh justeru terlindung di sebalik rimbunan pokok dan buluh yang menghijau itu.
Sejak zaman purba lagi, masyarakat Dai yang mendiami kawasan perairan Sungai Lancang dan Ruili, merupakan sebuah etnik yang mencintai dan menghargai air. Setiap butir kehidupan dan kebudayaan mereka berkait rapat dengan air. Sejak beribu-ribu tahun yang lalu, masyarakat yang hidup bersama air ini, telah mendapat rahmat yang melimpah dari air, membolehkan mereka bukan sahaja melahirkan peradaban penanaman padi yang tersendiri, malah berjaya mencipta kebudayaan etnik yang gilang-gemilang.
Bagi etnik Dai, air ialah “susu” yang mencipta segala-galanya di bumi, sumber nyawa, dan pembawa kebahagiaan dan nasib baik. Etnik Dai membezakan penggunaan air dengan teliti. Air sungai hanya digunakan untuk mandi dan membasuh. Orang yang selesai kerjanya di ladang akan membersihkan diri di sungai terlebih dahulu sebelum pulang ke rumah. Hanya air perigi yang boleh diminum. Jadi, penduduk tempatan membina “rumah” yang cantik untuk perigi. “Rumah” dengan hiasan patung gajah, merak atau pagoda itu, ada yang berbentuk menara dan silinder, ada juga yang berbentuk rumah sebenar. Namun, gambaran penghargaan dan pemujaan etnik Dai terhadap air, diluahkan pada Pesta Songkran yang diadakan setahun sekali itu.
Air yang tenang, jernih, juga boleh mengujakan perasaan. Dalam pesta yang juga dikenali sebagai “Karnival Timur” ini, etnik Dai yang bersuka ria dan teruja dengan air, “mengamanahkan” restu dan harapan diri kepada air suci. Segala keriangan lahir daripada air, begitu mudah dan tulen.