Cerita tentang Pengambil Api
Dalam banyak cerita dongeng di China, terdapat ramai pahlawan yang cerdik dan gagah berani yang sanggup mengorbankan jiwa raga mereka untuk menjamin kebahagiaan rakyat. Suiren, iaitu pengambil api merupakan salah seorang daripada mereka.
Pada zaman purba kala, manusia tidak tahu bahawa ada api di dunia ini, dan mereka juga tidak tahu bagaimana menggunakan sumber itu. Setiap malam, di mana-mana sahaja gelap gulita, yang kedengaran hanya bunyi binatang liar yang mengaum-ngaum di hutan rimba. Manusia ketika itu, sentiasa berasa sangat takut, tetapi tidak boleh berbuat apa-apa. Disebabkan tidak ada api, makanan yang dimakan mereka hanyalah makanan mentah. Oleh itu, manusia sering sakit, dan jangka hayat mereka sangat pendek.
Kononnya, ada seorang dewa di langit yang bernama Fu Xi. Dia berasa kasihan apabila melihat manusia hidup begitu menderita. Untuk mengajar cara menggunakan api kepada manusia, dewa Fu Yi telah membaca mantera tertentu supaya hujan lebat turun di hutan. Tiba-tiba, sebatang pokok disambar kilat, lalu hutan itu terbakar. Orang ramai sangat takut dan melarikan diri dari tempat itu. Sebentar kemudian, hujan yang lebat itu pun teduh. Hari mulai gelap, dan cuaca menjadi semakin sejuk. Ketika melihat pokok itu dijilat api, manusia sangat takut. Pada ketika itu, ada seorang pemuda yang menyedari bahawa bunyi binatang liar yang mengaum-ngaum di kawasan sekitar hutan itu tidak kedengaran lagi. Dia terfikir, adakah binatang liar takut akan cahaya api. Dia dengan berani pergi ke tempat yang ada api itu, dan tiba-tiba dia terasa panas. Dia dengan gembira memanggil sekelian manusia di situ untuk pergi ke sana, sambil berkata: "Api ini tidak mencederakan kita, sebaliknya ia akan menerangi dan memanaskan". Pada ketika itu, ramai juga orang yang mendapati, ada binatang liar yang terbunuh dalam kebakaran besar itu di tempat yang tidak jauh dari sini. Binatang yang terbakar itu mengeluarkan aroma yang sedap hingga menimbulkan selera mereka untuk makan. Mereka berkumpul di tepi api, dan memakan daging binatang liar yang dirasakan sangat enak itu. Sejak itulah, mereka tahu api ialah sesuatu benda yang sangat berharga. Kemudian, mereka memungut dahan pokok, dan menyalakan api dengan longgokan kayu tersebut. Setiap hari, api tersebut dikawal mereka secara bergilir-gilir supaya ia tidak terpadam.
Pada suatu hari, orang yang mengawal api itu tertidur, dan api terpadam setelah kayu api habis terbakar. Ramai orang menjadi sangat sedih kerana mereka terpaksa kembali menderita kegelapan dan kesejukan.
Setelah mengetahui hal tersebut, dewa Fu Xi datang ke dalam mimpi pemuda yang dahulunya menemui kegunaan api itu, dan memberitahunya bahawa jauh di bahagian barat, di Negeri Suiming, terdapat bahan yang boleh menyalakan api. Dia boleh mengambil api dari negeri itu. Apabila tersedar dari mimpinya, pemuda itu teringat akan kata-kata dewa Fu Xi. Dia berikrar akan pergi ke negeri Suiming untuk mencari bahan yang boleh menghidupkan api itu.
Setelah merentas gunung-ganang yang tinggi, mengharung sungai yang besar-besar, menembusi hutan yang luas, dan mengatasi banyak kesukaran, akhirnya pemuda itu berjaya tiba di Negeri Suiming. Namun, negeri itu langsung tidak ada cahaya matahari, dan tidak dapat membezakan siang hari dan malam, dan sama sekali tidak ada api. Pemuda itu berasa sangat kecewa, dan duduk termenung di bawah sebatang pokok yang besar. Tiba-tiba, dia melihat ada cahaya yang menerangi kawasan sekitarnya. Dia segera pergi mencari sumber cahaya. Pada ketika itu, dia melihat ada beberapa ekor burung sedang mematuk ulat pada sebatang pokok. Setiap kali mereka mematuk batang pokok itu, percikan api akan keluar dari pokok itu. Pemuda itu dengan segera mengambil sebatang ranting yang kecil, lalu digeselnya kepada dahan yang besar. Geselan itu memancarkan cahaya, tetapi kayu itu tidak terbakar. Pemuda itu tidak putus asa. Dia dengan sabar menggunakan beberapa batang ranting untuk digesel api. Akhirnya, ranting itu mengeluarkan asap, dan kemudian berapi. Melihat api yang bernyala-nyala itu, pemuda itu berasa sangat terharu.
Kemudian, dia kembali ke kampung halaman, dan memperkenalkan cara menghasilkan api tersebut kepada orang lain. Sejak itulah, manusia tidak lagi hidup dalam kegelapan, kesejukan dan ketakutan. Atas keberanian dan kecerdikannya yang luar biasa, pemuda itu dipilih sebagai ketua kaum, dan diberi gelaran "Suiren", yang bermakna pengambil api.