Bahasa Melayu

Riwayat Chang E Terbang ke Bulan

CRI2018-03-04 10:12:44

Hari ke-15 bulan 8 menurut Kalendar China ialah Hari Pesta Kuih Bulan China. Riwayat Chang E terbang ke bulan yang berkait dengan pesta Kuih Bulan ini sangat terkenal dalam kalangan rakyat China.

Menurut riwayatnya, pada zaman purba, terdapat 10 matahari di langit, dan cahaya matahari yang panas terik ini menyebabkan tanah kering dan berasap, air di laut kering sejat dan rakyat jelata menghadapi ancaman maut.

Seorang pahlawan yang juga Raja Negeri Youqiong, Dinasti Xia yang bernama Hou Yi mempunyai kuasa misteri dan pandai memanah. Baginda dengan gagah berani memanah hingga jatuh 9 matahari itu, lalu meninggalkan satu sahaja matahari. Rakyat jelata memuja Hou Yi yang telah menyelamatkan mereka daripada kepanasan dan ancaman maut.

Permaisuri Hou Yi yang bernama Chang E, merupakan seorang jelitawan. Pada suatu hari, Hou Yi memperoleh ramuan panjang umur yang dihadiahkan oleh Permaisuri Wangmuniangniang. Menurutnya, orang yang memakan ramuan panjang umur itu akan segera menjadi dewa atau dewi, dan terbang ke kayangan. Hou Yi tidak mahu berpisah dengan permaisurinya. Jadi, baginda tidak memakan ramuan itu, malah menyerahkannya kepada permaisurinya Chang E untuk disimpan. Peristiwa ini terlihat oleh Peng Meng, salah seorang pengikut Hou Yi. Ketika Hou Yi keluar, Peng Meng pergi ke istana Hou Yi, dan memaksa Chang E memberikan ramuan panjang umur itu kepadanya. Chang E mengetahui bahawa dia tidak akan terdaya melawan Peng Meng. Jadi, dia terpaksa memakan ramuan panjang umur itu sendiri. Sebaik sahaja ramuan itu ditelannya, Chang E pun terbang dari bumi terus ke bulan serta-merta.

Apabila Hou Yi kembali ke istana, dayang-dayang yang sedang menangis itu pun memberitahu baginda hal yang berlaku itu kepada Hou Yi. Hou Yi yang sedih menyeru permairusinya di bulan. Baginda mendapati bulan pada malam itu sangat bulat, besar dan terang dan baginda nampak bayang permaisurinya yang bergerak di bulan. Hou Yi berdoa untuk permaisurinya Chang E di bulan dengan meletakkan makanan yang disukai oleh permaisurinya.

Setelah mengetahui Chang E terbang ke bulan dan menjadi dewi, rakyat jelata juga beramai-ramai membuat pemujaan dengan meletakkan pelbagai jenis makanan semoga Chang E di bulan menganugerahkan keamanan dan kesejahteraan kepada mereka. Lama-kelamaan, memuja bulan pada 15 bulan 8 menurut kalendar Cina menjadi adat dan tradisi rakyat China, hingga tradisi ini menjadi Pesta Kuih Bulan China.

Close
Messenger Pinterest LinkedIn