Bahasa Melayu

Tradisi Pemujaan Dewa Dapur

CRI2018-02-08 16:42:09
Share
Share this with Close
Messenger Pinterest LinkedIn

Berdasarkan adat resam rakyat China, setiap keluarga pada hari yang ke-23 bagi bulan ke-12 mengikut kalendar China akan mengadakan upacara untuk memuja dewa dapur dan juga dari hari inilah bermulanya sambutan perayaan Tahun Baru China.

Antara dewa-dewi dalam riwayat rakyat China, dewa dapur ialah dewa yang paling bersejarah. Sejak lebih 2000 tahun yang lalu, penduduk China telah mempunyai tradisi untuk memuja dewa dapur.

Khabarnya, dewa dapur ialah dewa yang menjaga dapur dan juga mengawasi tingkah laku semua ahli keluarga. Dewa dapur juga dipuja sebagai dewa penjaga sesebuah keluarga.

Pada masa lampau, semua keluarga akan menempatkan papan pemujaan dewa dapur di dapur untuk disembah, manakala, gambar dewa dapur juga akan digantung pada dinding dapur. Pada gambar dewa itu terdapat tulisan yang berbunyi "Dewa Pengawas Dunia" ataupun "Ketua Keluarga". Menurut riwayat rakyat China, semasa penghujung sesuatu tahun, dewa dapur akan naik ke syurga untuk melaporkan kebaikan dan keburukan yang telah dilakukan oleh keluarga yang diawasinya dalam sepanjang tahun itu kepada dewa tertinggi di syurga. Maka, dewa tertinggi akan memutuskan nasib keluarga itu pada tahun yang akan datang berdasarkan laporan dewa dapur itu. Oleh sebab dewa dapur naik ke syurga pada setiap hari yang ke-23 bagi bulan 12 mengikut kalendar China, jadi upacara pemujaan dewa dapur juga diadakan pada hari itu.

Pada hari upacara pemujaan dewa dapur itu diadakan, semua ahli keluarga akan berkumpul di dapur pada waktu senja. Mereka akan menghidangkan makanan di depan gambar dewa dapur dan membakar colok untuk memberi penghormatan kepada dewa dapur. Antara makanan yang mesti dihidangkan kepada dewa dapur ialah "tang gua", sejenis gula-gula yang sangat melekit. Kononnya, dewa dapur sangat suka makan gula-gula itu, setelah dewa dapur memakan gula-gula itu, mulutnya akan melekat. Jadi, apabila dewa itu naik ke syurg, dewa itu tidak dapat memperkatakan keburukan keluarga itu. Selepas upacara pemujaan yang ringkas, gambar dewa dapur akan dibakar supaya dewa dapur dapat naik ke syurga bersama-sama asap melalui cerobong dapur. Kemudian, pada malam sebelum Tahun Baru China iaitu hari terakhir bagi sesuatu tahun, semua ahli keluarga akan mengadakan upacara menyambut kekembalian dewa dapur dan menggantungkan gambar dewa dapur yang baru pada dinding dapur. Oleh yang demikian, dewa dapur yang baru dapat kembali ke dunia manusia bagi meneruskan tugasnya untuk menjaga keluarga itu.

Menurut adat resam rakyat China, hari pemujaan dewa dapur juga dianggap sebagai permulaan bagi perayaan Tahun Baru China dan suasana seri perayaan juga semakin terserlah. Di sini, saya akan perkenalkan satu pepatah adat yang membayangkan cara penduduk China menyambut Tahun Baru China. Pepatah itu mengenai tata cara persiapan untuk menyambut ketibaan Tahun Baru China. Pepatah itu berbunyi: tujuh hari sebelum Tahun Baru China menyediakan "tang gua" untuk dewa dapur, enam hari sebelumnya membersihkan rumah, lima hari sebelumnya membuat tauhu, empat hari sebelumnya membeli daging, tiga hari sebelumnya menyembelih ayam, dua hari sebelumnya menguli tepung, sehari sebelumnya membeli minuman keras dan pada malam menjelang ketibaan Tahun Baru China, semua ahli keluarga akan membuat "Jiaozi" iaitu "Chinese dumpling" untuk dijadikan hidangan dan dimakan bersama-sama.

Kini istiadat pemujaan dewa dapur itu tidak lagi diamalkan oleh penduduk di bandar, sebaliknya penduduk di kawasan desa masih memegang istiadat itu. Walau bagaimanapun, hari ke-23 bagi bulan ke-12 kalendar China telah menjadi tanda permulaan sambutan perayaan Tahun Baru China.

Share this story on

Messenger Pinterest LinkedIn