Legenda Gun dan Yu Tangani Banjir
Kononnya, pada zaman purba kala, China telah mengalami zaman banjir yang panjang, iaitu selama 22 tahun. Tanam-tanaman semua lenyap ditenggelamkan dan rumah pun habis musnah. Rakyat jelata yang sudah kehilangan tempat tinggal dan sumber makanan itu pula sering diserang oleh binatang liar yang kelaparan. Oleh itu, jumlah penduduk semakin berkurangan. Raja Yao agak bimbang melihat keadaan ini. Jadi, baginda memutuskan untuk menghantar Gun pergi menangani banjir tersebut.
Perintah tersebut amat berat dan memang memeningkan kepala Gun. Tiba-tiba, dia terfikir satu cara yang munasabah, iaitu membina empangan yang tinggi di sekeliling kampung untuk menahan air banjir tersebut daripada melanda masuk. Bagaimanapun, fikirannya, dari mana hendak diperoleh batu dan pasir yang begitu banyak untuk membina empangan itu? Pada ketika itu, seekor kura-kura dewa yang merangkak naik dari dalam air, memberitahu Gun: "Ada sejenis harta karun yang digelar 'Xirang' tersimpan di kayangan. Jika kamu dapat benda itu, dan melemparkannya ke tanah, ia akan segera tumbuh, lalu berubah menjadi gunung dan empangan." Ketika mendengar berita itu, Gun amat gembira. Dia mengucapkan "selamat tinggal" kepada si kura-kura itu, lalu terus berjalan menuju ke barat.
Setelah mengatasi banyak kesukaran, akhirnya Gun berjaya tiba di Gunung Kunlun di sebelah barat, dan ditemui oleh Tian Di, iaitu Maharaja Kayangan. Gun memohon kepada Tian Di supaya baginda menganugerahkan Xirang kepadanya untuk menangani banjir dan menyelamatkan rakyat jelata di dunia. Namun, permintaannya itu telah ditolak oleh Tian Di. Maka, Gun yang berazam untuk menyelamatkan rakyat jelata daripada kesengsaraan akibat banjir itu, terpaksa mencuri Xirang itu, dan segera kembali ke timur. Setibanya ke kawasan banjir itu, dia terus melemparkan Xirang itu ke dalam air. Justeru, seperti yang dinyatakan oleh si kura-kura kepadanya, harta karun ini segera tumbuh dengan cepat, lalu berubah menjadi benteng, dan berjaya membendung banjir. Setelah masalah banjir ditangani, rakyat jelata jadi gembira semula dan bersuka ria. Mereka terus memulakan usaha bercucuk tanam, memulihkan pengeluaran dan kehidupan mereka semula.
Setelah mengetahui bahawa Gun telah mencuri Xirang, Tian Di segera mengerahkan dewa-dewa turun ke bumi untuk mengambil kembali harta karun itu. Seperti yang diduga, sebaik sahaja Xirang itu diambil balik, banjir terus menyerang kembali, memecahkan empangan dan memusnahkan ladang, dan menyebabkan ramai orang yang mati lemas. Raja Yao menjadi berang, dan bertitah: "Gun hanya pandai membina empangan untuk menahan banjir. Bagaimanapun, dia tidak tahu banjir itu mungkin menjadi lebih berbahaya jika empangan itu pecah. Dia sudah menangani banjir itu selama 9 tahun, namun sedikit kemajuan pun belum terlihat. Jadi, dia patut dihukum mati." Lalu, Raja Yao memenjarakan Gun di Gunung Yu, dan membunuhnya 3 tahun kemudiannya. Sebelum dibunuh, Gun masih teringat akan rakyat jelata yang hidup begitu menderita akibat bencana banjir. Dia berasa kesal sekali.
Dua puluh tahun kemudian, Raja Yao mewariskan takhtanya kepada Shun. Setelah naik takhta, Raja Shun menugaskan anak Gun, iaitu Da Yu, untuk meneruskan kerja menangani banjir. Tian Di memberikan Xirang kepada Da Yu. Pada mulanya, Da Yu mencontohi kaedah yang digunakan oleh bapanya itu, iaitu membina empangan untuk menahan banjir itu. Tetapi dia gagal kerana air banjir yang dibendung oleh empangan itu menjadi semakin hebat, sehingga dengan mudah empangan itu dimusnahkannya. Setelah melakukan beberapa percubaan, Da Yu mulai memahami satu hakikat, iaitu tidak masuk akal jika hanya dengan membina empangan untuk menahan banjir. Cara yang betul adalah dengan membendung sambil mengalirkan air itu. Maka, dia memanggil seekor kura-kura dewa supaya menggendong Xirang itu, dan mengikutinya sepanjang perjalanannya. Dia menggunakan harta karun itu untuk meninggikan kawasan yang didiami oleh orang kampungnya. Kemudian, menurut ceritanya, dengan bantuan naga dewa, dia telah menggali laluan sungai, dan berjaya menyalurkan air banjir itu ke laut.
Kononnya, Da Yu telah meninggalkan rumahnya untuk menangani banjir pada hari keempat selepas dia berkahwin. Dalam tempoh 13 tahun itu, dia pernah 3 kali melalui rumahnya, tetapi tidak sempat masuk menziarahi ahli keluarnya. Sebagai penghargaan terhadap jasanya yang luar biasa itu, rakyat jelata mencadangkannya menjadi Raja. Raja Shun juga dengan senang hari mewariskan takhta kepadanya.