Bahasa Melayu

Zhang Heng dan "Di Dong Yi"

CRI2018-03-29 15:10:22
Share
Share this with Close
Messenger Pinterest LinkedIn

Pada zaman Dinasti Han Timur, di sekitar bandar Luoyang, ibu nergara China pada ketika itu, sering berlaku gempa bumi. Menurut catatan sejarah, dalam tempoh lebih 50 tahun, iaitu bermula tahun 89 hingga tahun 140 Masihi, 33 kali gempa bumi telah berlaku di kawasan tersebut, mengakibatkan banyak bangunan musnah, dan banyak orang dan binatang ternakan terbunuh. Rakyat jelata sangat takut akan bencana itu.

Maharaja pada ketika itu, menganggapnya sebagai hukuman Maharaja Kayangan atas tingkah laku manusia yang tidak menghormati dewa-dewi. Maka, baginda pun meningkatkan kutipan cukai dalam kalangan rakyat, untuk mengadakan aktiviti memuja dewa-dewi. Bagaimanapun, seorang ahli sains yang bernama Zhang Heng, menganggap bencana gempa bumi ini sebagai satu fenomena alam sahaja, cuma ia belum dikenali oleh manusia. Maka, dia pun mempercepat penyelidikannya terhadap bencana tersebut.

Zhang Heng memperhatikan dan menyelidik setiap gempa bumi yang berlaku dengan teliti, dan menganalisis sebab berlakunya bencana itu dengan cara saintifik. Dengan percubaan yang dilakukannya selama beberapa tahun, pada tahun 132 Masihi, dia berjaya mencipta alat pengesan gempa bumi yang pertama di dunia. Alat ini dinamakan seismoskop, atau "Di Dong Yi" dalam bahasa Mandarin.

Alat pengukur gempa bumi yang berbentuk sfera ini, diperbuat daripada tembaga. Garis pusat sfera itu adalah kira-kira 1 meter. Di tengahnya, ada sebatang tiang besar yang diperbuat daripada tembaga, yang bersambung dengan lapan batang tiang yang kecil. Lapan ekor naga yang diperbuat daripada tembaga telah dipasang pada sfera tersebut. Kepala kelapan-lapan ekor naga itu pula bersambung dengan lapan batang tiang kecil tadi, dan masing-masing mengarah ke lapan arah yang berlainan, iaitu utara, selatan, timur, barat, timur laut, tenggara, barat laut dan barat daya. Dalam mulut setiap ekor naga tersebut, terdapat sebiji bebola tembaga yang kecil. Di bahagian bawah lapan ekor naga tersebut pula, terdapat lapan ekor kodok yang ternganga yang juga diperbuat daripada tembaga. Mereka saling berpandangan. Keadaan itu dilihat seolah-olah kodok sedang bermain dengan naga. Menurut reka bentuk Zhang Heng, apabila gempa bumi berlaku, bebola kecil dalam mulut naga yang mengadap ke arah tempat berlakunya gempa bumi, akan terjatuh ke dalam mulut kodok yang terletak di bahagian bawahnya itu.

Dalam tempoh 4 tahun selepas alat tersebut selesai dicipta, empat kali gempa bumi telah berlaku di sekitar Luoyang, dan kesemuanya telah berjaya dikesan secara tepat oleh alat itu. Bagaimanapun, pada suatu hari pada tahun 138 Masihi, mulut ekor naga yang mengadap ke arah sebelah barat pada sfera tersebut terbuka, dan bebola kecil dalam mulut naga itu terjatuh ke dalam mulut kodok di bawahnya. Ini menunjukkan bahawa gempa bumi telah berlaku di suatu tempat yang terletak di sebelah barat Luoyang. Namun, gegaran sedikit pun belum dirasai. Oleh itu, ramai orang mula mencurigai keberkesanan alat ini. Namun, tidak beberapa lama selepas itu, utusan dari Provinsi Gansu, sebelah barat Luoyang, telah melaporkan berita bahawa gempa bumi telah berlaku di sana. Hingga saat itu, barulah mereka percaya bahawa alat pengesan gempa bumi yang dicipta oleh Zhang Heng itu, bukanlah hanya mainan, seperti "kodok bermain dengan naga" sahaja. Ia benar-benar sejenis peralatan saintifik yang amat berguna. Sejak itulah, rakyat China mula menggunakannya untuk mengesan gempa bumi dari jarak jauh.

Share this story on

Messenger Pinterest LinkedIn