Terdapat pelbagai pilihan bagasi di pasaran, adakah bagasi pilihan sesuai dengan jenis percutian yang anda rancangkan? Ketahui jenis-jenis bagasi dan kesesuaiannya mengikut jenis percutian.
BEG DUFFLE yang bersifat ringan, mudah disimpan dan lebih mesra bajet, sesuai untuk pendaki, pelajar kolej, dan lain-lain. Beg jenis ini mempunyai ruang simpanan yang besar dan sesetengah model menawarkan kapasiti sehingga 130 liter.
BEG DUFFLE BERODA mempunyai ruangan utama yang besar dan boleh memuatkan peralatan kembara yang pelbagai bentuk atau saiz, di samping mempunyai roda yang memudahkan pergerakan. Beg jenis ini sesuai untuk perjalanan perniagaan, lawatan keluarga, percutian urban, dan sebagainya.
BAGASI BERODA selalunya mempunyai banyak poket dan ruangan khusus untuk kelengkapan dandanan diri, aksesori dan lain-lain. Binaan yang teguh dan saiz yang kompak direka untuk menangani sistem pengangkutan bagasi. Beg ini juga sesuai untuk perjalanan perniagaan dan lawatan keluarga.
BEG GALAS (BACKPACK) BERODA mempunyai kelebihan dari segi keselesaan dan mobiliti. Beg jenis ini boleh diseret atau disandang mengikut situasi, serta amat popular dalam kalangan pengembara dan backpackers, di samping sesuai untuk pengembaraan.
TRAVEL PACK sesuai untuk pengembara yang mementingkan mobiliti. Beg galas tanpa roda ini bersifat mesra perjalanan, terutamanya di laluan berbatu, tangga dan kawasan tidak rata kerana boleh disandang sepanjang masa. Kebanyakan beg jenis ini mempunyai rangka dalaman, tali bahu tersembunyi dan ciri-ciri keselamatan.
BEG KOMPUTER RIBA mempunyai ruangan berpad untuk melindungi komputer riba bersaiz 10-17 inci, selain mempunyai banyak poket untuk menyimpan kabel,wayar sambungan dan kertas kerja. Beg jenis ini sesuai untuk pelancong yang membawa komputer riba.