Taiyuan, ibu kota provinsi Shanxi terletak di bahagian tengah China, dengan penduduknya seramai lebih 4 juta orang. Taiyuan yang mempunyai ciri-ciri istimewa dari segi geografi dan iklim, terkenal dengan kehebatan dalam dunia perniagaan pada zaman dahulu. Selain mengekalkan keunikan sosiobudaya dan tradisi adat resam, Taiyuan juga memperlihatkan wajah baharu pada zaman moden, sehingga menjadi daya tarikan kepada pelancong yang berkunjung ke bandar ini. Jalan Liuxiang merupakan jalan beli-belah yang amat terkenal di Taiyuan. Kepopularan jalan ini dikatakan setanding dengan Wangfujing di Beijing atau Nanjinglu di Shanghai, malah dianggap sebagai mercu tanda kepada bandar ini. Oleh itu, Jalan Liuxiang sudah menjadi satu destinasi yang wajib dikunjungi oleh para pelancong.
Jalan Beli-belah Liuxiang
Walaupun banyak kawasan beli-belah yang baharu telah wujud di Taiyuan bagai cendawan tumbuh selepas hujan, namun Jalan Liuxiang yang bersejarah ini tetap antara destinasi yang menarik paling ramai pengunjung ke bandar ini.
Selain membeli-belah, pelancong juga boleh bersantai dan menjamu selera di beberapa kopitiam yang terdapat di sini. Kopitiam tersebut dilengkapi dengan pelbagai hiasan yang menarik. Kopitiam dengan suasana yang menenangkan ini sudah pasti menjadi tempat yang paling baik untuk berehat.
Jalan Makanan
Jalan Makanan Taiyuan yang dibina pada tahun 1985, terletak tidak jauh dari Jalan Liuxiang. Jalan tersebut merupakan tempat yang paling sesuai untuk menikmati masakan tradisi Taiyuan yang bercita rasa asli.
Sebuah pintu gerbang yang tersergam indah di pintu masuk jalan ini sangat memudahkan pelancong untuk mencari lokasinya. Sebuah kolam air pancut yang istimewa dibina di sini, dengan meniru reka bentuk kolam air pancut di Taman Yuanmingyuan di Beijing yang dilengkapi dengan 12 arca tembaga kepala binatang lambang tahun.
Daerah Changfeng
Daerah Changfeng merupakan tempat yang menggambarkan wajah kemodenan bandar Taiyuan. Selain memiliki banyak bangunan pencakar langit yang terdiri daripada pejabat pelbagai syarikat, daerah ini juga dilengkapi pusat beli-belah yang diminati golongan muda. Selain itu, daerah ini juga dikatakan zon budaya dan kreativiti di Taiyuan dengan mencakupi muzium sains, muzium seni, teater dan pusat budaya.