Keindahan alam semula jadi Penghu begitu ketara kerana tidak diganggu oleh pembangunan. Lokasi ini cukup sempurna bagi para pelancong yang mahu lari daripada kehidupan yang sibuk. Kampung-kampung yang dimamah usia dan landskap yang terbentuk daripada cuaca dan hempasan ombak, mempamerkan panorama yang eksotik. Para peminat sukan air sangat memuji Penghu. Tiupan angin yang kencang, manakala suhu air laut pula sangat sesuai untuk aktiviti berenang dan bermain luncur angin.
Bandar Magong merupakan tempat tinggal kepada separuh populasi Penghu yang berjumlah 95,000 orang. Magong dipenuhi dengan lorong-lorong lama, perigi-perigi bersejarah dan Queen of Heaven Temple atau Kuil Permaisuri Kayangan. Kuil tersebut telah berusia lebih 400 tahun. Di dalam kuil tersebut terdapat banyak ukiran kayu yang halus buatannya dan sepacak tiang batu yang menandakan pengusiran penceroboh Belanda pada tahun 1604.
Jambatan Trans-Oceanic sepanjang 2.5 kilometer menghubungkan pulau-pulau di Baisho bagi membolehkan para pengunjung berkunjung ke Akuarium Penghu dan Xiyu. Xiyu mempunyai dua kubu, iaitu Kubu Xitai dan Kubu Dongtai. Di hujung bahagian barat pula terdapat rumah api. Di hujung jambatan di bahagian timur, anda dapat melihat kampung sepi di Tongliang. Tempat ini begitu dikenali kerana terdapat sepohon pokok beringin purba yang sangat besar meneduhkan halaman sebuah kuil.
Tarikan utama di Xiyu ialah Kampung Erkan kerana keunikan rumah-rumah setingkat yang mewah. Hanya sedikit sahaja orang yang menetap di situ kerana pada kurun ke-18 hingga ke-19, orang kampung telah berhijrah secara beramai-ramai dan membuka kedai ubat herba di bandar-bandar utama di Taiwan. Mereka yang menjadi kaya di Taiwan atau Fujian kembali ke kampung halaman masing-masing dan membina mahligai-mahligai kecil untuk menunjukkan kekayaan mereka. Salah satu pantai panjang di pulau utama ialah Pantai Aimen yang mudah dikunjungi dari Mogong. Pantai Shili lebih bagus untuk aktiviti berenang, selain disediakan banyak tandas, bilik mandi dan kemudahan lain. Pembentukan pasir yang menarik ialah Jibei Spit, manakala pembentukan terumbu karang kecil dan pecahan kulit kerang yang bersambung bagaikan lidah sepanjang 800 meter dari Jibei, salah sebuah gugusan pulau di hujung bahagian utara.