Berbanding Silk Street, Pasar Borong Guan Yuan kurang dikunjungi pelancong. Bagi mereka yang berminat meneroka dan mengalami sendiri gaya hidup orang tempatan, pasti berpuas hati kalau singgah membeli-belah di sini. Jangan terpedaya dengan nama pasar ini kerana pembeli yang tidak berhajat memborong pun boleh membeli-belah di sini.
Barang-barang yang boleh didapati di sini cukup lengkap, daripada pakaian, kasut, barang kemas, perhiasan dan perkakas rumah, sehinggalah alat tulis, pakaian kanak-kanak dan bayi, langsir, cadar, alas meja dan selimut sutera, semuanya pada harga yang amat berpatutan. Ada sesetengah kedai yang barangnya berharga tetap, ada sesetengah yang lain pula tidak menghalang pembeli yang ingin tawar-menawar untuk mendapatkan potongan harga. Bagaimanapun, harga barangan di pasar borong ini lebih rendah berbanding banyak tempat lain.
Pasar Borong Guan Yuan dibuka secara rasmi pada 16 Februari 1998. Ramai yang menganggap kedudukannya yang berhampiran dengan persimpangan jalan utama agak strategik, kerana pengangkutan amat mudah dan keadaan keselamatannya cukup memuaskan. Walaupun kompleks pasar borong ini cuma tiga tingkat, namun keluasannya mencapai hampir 30 ribu meter persegi. Terdapat kira-kira 1,800 gerai di sini, dan jumlah pengunjungnya dianggarkan melebihi 20 ribu orang setiap hari.
Perlu diingatkan, disebabkan pelancong kurang berkunjung ke pasar ini, tidak ramai peniaga yang mampu bertutur bahasa asing dengan fasih. Sekiranya khuatir tidak dapat berkomunikasi dengan peniaga, sebaik-baiknya bawalah seseorang yang mampu bertutur bahasa Mandarin. Namun begitu, peniaga di sini kebanyakannya ramah, maka bahasa bukanlah halangan besar bagi mereka yang benar-benar gemar membeli-belah.
Sekiranya penat membeli-belah, bolehlah berehat seketika dan makan minum di Restoran Masakan Xinjiang yang terletak di seberang jalan atau Restoran Zhanlanlu kira-kira 260m di timur Pasar Borong Guan Yuan.
Info Berguna
Alamat Pasar Borong Guan Yuan:
No. 4, Chegongzhuang Dajie, Xicheng Beijing
Waktu Niaga: 10.00 am - 7.00 pm
Pengangkutan:
- Kereta api bawah tanah Laluan 2 dan 6, Stesen Chegongzhuang
- Bas 19, 107, 118, 392, 685, 701 ke Stesen Santasi
Tarikan lain yang berhampiran: Zoo Beijing, Teater Meilanfang.