Amerika Syarikat (AS) sekali lagi mengancam akan mengenakan tarif tambahan sebanyak 10% terhadap produk import dari China yang bernilai USD300 bilion bermula 1 September, beberapa hari selepas pusingan ke-12 rundingan ekonomi dan perdagangan peringkat tinggi kedua-dua negara berakhir.
Tindakan ini bercanggahan dengan konsensus yang dicapai pemimpin kedua-dua negara di Osaka dan tidak kondusif bagi penyelesaian pertikaian berkenaan. China membantah keras tindakan AS ini dan akan mengambil tindakan balas yang sewajarnya demi memelihara kepentingan teras negara dan kepentingan asas rakyat.
Mengenang kembali proses rundingan ekonomi dan perdagangan antara China dan AS pada tahun lepas, berunding sambil mengenakan sekatan ialah tindakan yang sentiasa dilakukan AS. Namun pada hakikatnya, tekanan tidak dapat menundukkan China, sebaliknya akan menjejaskan peluang pemulihan rundingan, malah tidak bermanfaat bagi menyelesaikan masalah.
Fakta dalam setahun lalu membuktikan bahawa tiada pemenang dalam perang perdagangan. Mengenakan tarif tambahan tidak dapat menyelesaikan keprihatinan AS, sebaliknya akan menjejaskan kepentingan kedua-dua negara bahkan seluruh dunia.
Menurut laporan yang dikeluarkan pakar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Mei, kos ekoran tarif tambahan AS semuanya ditanggung oleh pengimport dan pengguna di AS.
Walaupun China menghadapi tekanan yang lebih besar dalam pertikaian perdagangan yang semakin memingkat, namun semua indeks utama ekonomi makro negara ini berada dalam julat yang munasabah pada separuh tahun pertama tahun ini.
Pertikaian perdagangan antara China dengan AS agak rumit. Tindakan AS mengenakan tarif tambahan tidak selaras dengan kepentingan rakyat kedua-dua negara. AS digesa membetulkan kesalahannya dan kembali berunding berdasarkan prinsip sama rata dan saling menghormati.