Lokasi Anda: Laman Utama > Sinar Islam > Etnik Minoriti > Kandungan

Etnik Bonan

2014-11-05 15:41:00

Etnik Bonan

Etnik Bonan, merupakan salah satu daripada 10 etnik yang beragama Islam di negara China. Etnik ini mempunyai lebih 20 ribu orang penduduk berdasarkan bancian penduduk China tahun 2010.  Kebanyakan warga etnik ini menetap di provinsi Gansu dan Qinghai di kawasan barat laut China.

Etnik Bonan mempunyai bahasa pertuturan sendiri tetapi tidak mempunyai sistem tulisan. Namun kebanyakan mereka fasih berbahasa Mandarin. Mereka mengamalkan agama Islam dalam kehidupan mereka termasuk upacara perkahwinan dan pengebumian yang dilakukan menurut peraturan Islam.

Masyarakat etnik Bonan kebanyakannya bekerja dalam sektor pertanian, penternakan dan pembuatan kraf tangan, contohnya pisau Bonan yang sangat tajam dan halus, serta sangat popular bukan sahaja di China bahkan di dunia.

Pada zaman dahulu, etnik Bonan tinggal bersama-sama dalam kelompok etnik Mongol. Oleh itu, ciri-ciri pakaian etnik ini juga mirip etnik Mongol. Mereka memakai jubah dan topi kulit pada musim sejuk, dan suka mengikat tali pinggang sutera dengan hiasan sulaman.

Sekarang, pakaian etnik Bonan hampir sama dengan pakaian masyarakat etnik Hui (sebuah etnik minoriti yang beragama Islam). Lelaki Bonan memakai topi putih, kemeja putih dan seluar biru atau kelabu. Gadis Bonan pula suka memakai baju yang berwarna terang dan tudung sutera berwarna hijau, manakala golongan wanita tua biasanya memakai baju berwarna gelap dan tudung berwarna putih.

Pisau Bonan sangat halus dan cantik buatannya. Pisau ini bukan sahaja menjadi peralatan kegunaan harian, tetapi juga sering dijadikan hadiah untuk rakan-rakan. Pisau Bonan sangat terkenal dalam kalangan penduduk di bahagian barat laut China termasuk di dunia Arab. Terdapat banyak jenis pisau Bonan dan diukir dengan gambar naga, bunga, dan pelbagai ukiran lain bergantung kepada jenis pisau.


Etnik Bonan juga mempunyai lagu yang sangat terkenal dan dinyanyikan semasa majlis keramaian biasanya semasa upacara perkahwinan. Seni kata lagu itu sangat indah dan sedap didengar. Pada malam hari perkahwinan, semua rakan sekampung berkumpul di rumah pengantin baharu. Pemuda berkumpul mengelilingi unggun api di rumah pengantin lelaki dan menyanyi sambil menari dalam suasana yang sangat meriah dan bahagia.

Anda mungkin berminat

Kalendar

Aktiviti Promosi

Melancong ke Guilin secara Percuma

Like Kembara Sutera di www.facebook.com/kembarasutera, jawap soalan dan tinggalkan komen, anda berpeluang memenangi hadiah melancong ke Guilin secara percuma.

Ikuti Kami

Kenali Beijing di FacebookCRI di FacebookApp Kembara Sutera di Facebook
Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin