Etnik Salar, salah satu daripada sepuluh etnik minoriti yang beragama Islam di China. Menurut bancian kebangsaan yang dilakukan pada tahun 2010, terdapat lebih 130 ribu orang etnik Salar di negara ini. Kebanyakan orang etnik Salar tinggal secara berkelompok di Kaunti Autonomi Salar Xunhua yang berhampiran dengan Sungai Kuning di bahagian timur provinsi Qinghai.
Unta putih dianggap sebagai lambang etnik Salar. berikutan sebuah legenda yang penuh keajaiban mengenai unta putih dan sejarah penghijrahan nenek moyang etnik Salar dari Asia Tengah ke timur dan akhirnya menetap di Xunhua sehinggalah sekarang.
Mengikut ceritanya, lebih 800 tahun yang lalu, terdapat puak Salar yang tinggal di Samarkand, Asia Tengah. Ketua puak Salar tersebut, Mahmud al-Kashgari amat dihormati dan disayangi oleh rakyatnya sehingga dicemburui oleh maharaja negara itu. Maka puaknya yang dipimpin oleh Mahmud al-Kashgari terpaksa berhijrah ke timur untuk mengelakkan malapetaka. Mereka berharap agar dapat mencari tempat kediaman yang damai dan harmoni.
Mereka berhijrah menuju ke timur dengan membawa seekor unta putih. Mereka merentasi gunung-ganang dan merentasi padang pasir dengan keyakinan kepada Allah, sehingga akhirnya sampai di kaki sebuah gunung berwarna merah di pesisir Sungai Kuning. Pada waktu itu, unta putih itu tiba-tiba menghilang. Barang-barang yang diangkut oleh unta putih itu termasuklah air dan tanah yang dibawa dari tempat asal mereka serta senaskhah salinan al-Quran tulisan tangan yang sangat berharga, semuanya turut hilang. Mereka berasa sangat cemas dan mencari-cari sepanjang malam. Akhirnya mereka mendapati bahawa unta putih itu sudah menjadi sebuah patung batu di tepi sebuah mata air. Semua barang yang diangkut oleh unta putih itu tetap berada di atas bonggolnya.
Orang ramai berasa terkejut akibat keajaiban yang berlaku itu. Air dan tanah yang terdapat dari tempat asal mereka adalah sama dengan air dan tanah di kawasan sekitar mata air tersebut. Sejak itulah, mereka menetap di tempat yang berdekatan mata air tersebut dan bergaul dengan etnik-etnik tempatan. Puak tersebut dipercayai nenek moyang etnik Salar pada masa sekarang. Manakala tempat kediaman mereka itu ialah Xunhua pada hari ini.
Cara beriadah penduduk etnik Salar agak pelbagai. Capteh merupakan sukan yang paling popular di kalangan penduduk etnik itu. Orang Salar biasanya membuat permainan ini dengan menggunakan logam seperti syiling dan tiga bulu ayam. Tetapi menggunakan bulu di bahagian punggung ayam jantan sangat dilarang dan menjadi pantang larang bagi etnik itu, ini kerana penduduk etnik Salar percaya kalau menggunakan bulu di bahagian punggung ayam jantan untuk membuat capteh, periuk di rumah akan retak.
Persembahan bermain capteh penduduk etnik Salar sangat menarik. Cara yang paling popular ialah dua kumpulan bertarung, kumpulan yang dapat menyepak capteh di udara lebih lama tanpa jatuh ke tanah dianggap pemenang. Pemain etnik Salar yang hebat boleh menyepak capteh menggunakan mana-mana bahagian badan. Di kawasan penempatan etnik Salar, di merata-rata tempat boleh ditemui penduduk etnik Salar yang bermain capteh, acara itu menjadikan badan pemain lebih lembut dan sihat, aksi mereka kelihatan seperti tarian.