Lokasi Anda: Laman Utama > Sinar Islam > Etnik Minoriti > Kandungan

Etnik Uzbek

2014-11-05 15:22:40

Etnik Uzbek

Etnik Uzbek yang jumlahnya lebih 10 ribu orang tinggal secara berkelompok di kawasan selatan dan utara Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang China.

Sejarah Etnik Uzbek bermula pada abad ke-14. Pada abad ke-15, ramai saudagar Uzbek dari Asia Tengah berniaga ke China melalui Laluan Sutera. Sebahagian saudagar itu menetap di kawasan Xinjiang, dan lama-kelamaan, etnik Uzbek telah membuka penempatan di kawasan tersebut.

Kebanyakan orang Etnik Uzbek tinggal di bandar dan pekan, mereka amat rajin dan pandai dalam bidang perniagaan, pendidikan, serta industri pertukangan tangan. Manakala sebahagian kecil orang etnik ini menggembala di kawasan utara Xinjiang atau menanam di bahagian selatan kawasan itu.

Etnik Uzbek beragama Islam. Mereka mempunyai bahasa sendiri. Sistem tulisan bahasa Uzbek menggunakan huruf Jawi. Ramai penduduk Uzbek boleh bertutur bahasa Uygur atau bahasa Kazak (Uygur dan Kazak, dua etnik yang menganut agama Islam di China).

Etnik ini mempunyai tarian dan muzik yang sangat menarik. Kaum wanita etnik ini pandai menyulam. Sulaman pada alas meja, selimut dan bantal sangat halus dan cantik.

Kaum wanita Etnik Uzbek sangat pandai menghias diri, dan mereka suka memakai topi berwarna-warni yang dikenali sebagai "Duopi", Golongan gadis suka memakai tudung berwarna terang di bawah Duopi, manakala wanita yang berumur kebanyakannya memakai Duopi berwarna gelap.

Pada musim panas, gadis etnik Uzbek suka memakai skirt panjang yang berwarna terang, yang turut dihiasi banyak hiasan yang cantik. Wanita yang berumur pula lebih suka memakai skirt diperbuat daripada kain sutera. Pada musim sejuk, kaum wanita etnik ini suka memakai baju yang diperbuat daripada kulit kambing atau musang agar tahan sejuk. Hiasan rambut kaum wanita etnik Uzbek sangat halus dan sangat banyak jenisnya, serta kebanyakannya diperbuat daripada emas, perak, mutiara, jed atau kain sutera. Mereka juga suka memakai rantai dan cincin emas.

Etnik Uzbek mempunyai adat perkahwinan yang unik. Misalnya, anak mereka yang ingin berkahwin mestilah bermula daripada yang sulung kemudian diikuti anak kedua atau anak bongsu. Kalau abang atau kakaknya belum berkahwin, si adik tidak boleh berkahwin terlebih dahulu.


Upacara perkahwinan etnik ini biasanya diadakan di rumah pengantin perempuan pada waktu malam. Setelah membaca kitab suci al-Quran, imam akan bertanya bakal pengantin baharu itu sama ada mereka bersetuju dinikahkan. Setelah mendapat persetujuan, imam akan menyerahkan dua keping roti Nan yang direndam dalam air garam. Ini kerana penduduk etnik Uzbek sangat menghargai garam dan menganggap garam boleh menjadikan suami isteri saling mencintai, manakala roti Nan merupakan makanan utama yang popular dalam kalangan penduduk etnik ini. Roti Nan dan garam melambangkan pasangan suami isteri sehidup semati.

Anda mungkin berminat

Kalendar

Aktiviti Promosi

Melancong ke Guilin secara Percuma

Like Kembara Sutera di www.facebook.com/kembarasutera, jawap soalan dan tinggalkan komen, anda berpeluang memenangi hadiah melancong ke Guilin secara percuma.

Ikuti Kami

Kenali Beijing di FacebookCRI di FacebookApp Kembara Sutera di Facebook
Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin