Lokasi Anda: Laman Utama > Sinar Islam > Budaya Islam > Kandungan

Keindahan Seni Bina Islam yang Mempesonakan di Ningxia

2014-11-15 16:23:11

Keindahan Seni Bina Islam yang Mempesonakan di Ningxia

Disebabkan wilayah ini mempunyai sejarah panjang pemerintahan dan perjuangan kaum Hui yang beragama Islam dan berasal dari Turki, maka tidak hairanlah pada hari ini masih kedapatan bangunan-bangunan lama dan baru yang bercirikan Islam terutama dari segi rekabentuk dan konsep binaannya. Pengaruh rekabentuk Turki dan konsep Islam zaman Uthmaniah masih ada peninggalannya ke atas bentuk gerbang dan masjid-masjid di Ningxia. Justeru, sebaik sahaja memasuki bandar Yinchuan (Ibu Kota Wilayah Ningxia), saya tidak merasakan berada di negara China. Sebaliknya merasakan seperti berada di negara Turki atau negara-negara di Asia Tengah. Ciri-ciri seni bina China pada bangunan-bangunan lama amat berkurangan sekali. Sebaliknya, kedapatan ciri-ciri seni bina Islam di beberapa bangunan lama di bandar ini termasuklah tulisan Arab dan ukiran khat pada dinding dan bumbung bangunan-bangunan tersebut.

Kami dibawa untuk melawat sebuah kompleks yang besar dengan datarannya yang luas dan menarik. Kompleks ini mengandungi bangunan Pusat Kebudayaan Etnik Hui, Muzeum kaum Hui dan juga Masjid Jamek Ningxia. Dari kejauhan kelihatan pintu gerbang bagi memasuki kompleks ini yang begitu indah ukiran dan seni bina yang berwarna putih bersinar-sinar. Pintu gerbangnya tersergam anggun bagai sebuah menara gerbang yang begitu indah dan menarik. Corak binaannya dan warna keputihan pada pintu gerbang tersebut menyerupai bangunan Taj Mahal di India yang dibina oleh Maharaja Shah Jehan (Dinasti Islam Moghul) bagi memperingati isteri tercintanya Mumtaz. Saya tertanya-tanya, apakah konsep binaan dan warna pada pintu gerbang ini mempunyai persamaan dengan bangunan Taj Mahal di India. Saya mengkagumi keindahan senibina, rekaan dan warnanya yang amat menakjubkan serta begitu unik sekali. Menara gerbang ini saya namakan Menara Gerbang Putih bersempena warnanya yang keputihan dan terang menyerlah.

Sebagai perbandingan, saya bawakan gambar Taj Mahal di India yang pernah disebutkan sebagai salah satu benda ajaib di dunia. Bentuk seni bina, corak rekaan dan warnanya yang keputihan begitu menyamai dengan Menara Gerbang Putih kompleks Islam Etnik Hui tadi.

Keindahan Seni Bina Islam yang Mempesonakan di Ningxia

Selepas melewati Menara Gerbang Putih, di kawasan perkarangan dalaman atau datarannya pula terdapat sebaris pancutan air yang menghiasi kolam yang menjadi penghubung antara pintu gerbang dan bangunan utama Muzeum kaum Hui atau Pusat Kebudayaan Etnik Hui. Konsep air kolam yang jernih dan dibarisi pula bunga-bungaan di sekeliling kolam itu menjadikan ianya satu pemandangan indah yang menyejukkan mata memandang. Kedudukan kolam dan air pancutan di tengah-tengah dataran yang luas menimbulkan fenomena yang menarik. Keindahan pancutan air kolam ini mengingatkan kita kepada keindahan dan kedamaian taman istana lama tinggalan Kerajaan Islam Andalusia, di Sepanyol, iaitu Istana Alhambra. Istana Alhambra yang mempunyai senibina taman yang indah dan menyegarkan. Senibina taman Alhambra diikhtiraf dunia antara yang terbaik dan tercantik. Ianya adalah simbol keunikan senibina Islam yang menggabungkan keindahan ciri-ciri alam semula jadi dengan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Ini membuktikan betapa tingginya ketamaddunan Islam dalam aspek senibina dan rekaan taman.

Di dalam Pusat Kebudayaan Etnik Hui dan Muzeum Hui di Yinchuan ini terdapat banyak bahan-bahan sejarah yang dipamerkan untuk pengunjung dan pelawat yang ingin mengetahui selok belok perkembangan Islam di wilayah ini, perjalanan penyebaran agama Islam melalui Laluan Sutera dan hubungan Etnik Hui dengan dunia Islam terutamanya menerusi perdagangan. Di samping itu budaya, adat resam dan pakaian tradisional kaum Hui secara turun temurun turut dipaparkan. Turut dipamerkan adalah pelbagai jenis Al-Quran yang ditulis tangan, di atas kulit lembu sehinggalah yang bertinta emas. Kalau sesiapa yang mahu menguji pembacaan secara penglihatan mikro, bolehlah juga mencuba membaca Al-Quran paling kecil di dunia yang terdapat di sini. Beratnya 3.9 miligram, panjangnya 23 sm, lebarnya 17 sm dan tebalnya 11 sm. Satu lagi Al-Quran yang paling mahal yang turut dipamerkan bertinta emas dengan pelbagai warna yang bernilai RMB180 juta. Dikatakan bahawa proses membuat Al-Quran ini dibuat di awal Dinasti Ming dan selesai semasa Era Dinasti Yuan. Setiap helai Quran itu dikatakan bernilai USD8 ribu.

Anda mungkin berminat

Kalendar

Aktiviti Promosi

Melancong ke Guilin secara Percuma

Like Kembara Sutera di www.facebook.com/kembarasutera, jawap soalan dan tinggalkan komen, anda berpeluang memenangi hadiah melancong ke Guilin secara percuma.

Ikuti Kami

Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin