Lokasi Anda: Laman Utama > Sinar Islam > Budaya Islam > Kandungan

Asimilasi Budaya terhadap Permakaman Orang Islam China

2014-11-15 16:13:47

Bertitik tolak daripada pengamatan pengkaji, terdapatnya pengaruh budaya Cina dalam rekabentuk makam dan batu nisan umat Islam China. Ianya bukan hanya berdasarkan pengamatan kuburan atau batu nisan orang-orang Islam di Bandar Che Feng sahaja, malahan juga berdasarkan pengamatan pengkaji di kawasan-kawasan lain di China. Bentuk-bentuk makam atau perkuburan Islam China mirip batu nisan atau perkuburan orang-orang Cina (bukan Islam), yang juga dikenali sebagai Jirat Cina. Misalnya, sepertimana gambar di bawah merupakan makam atau perkuburan orang-orang Islam di Guangzhou, China.

Pemerhatian terhadap bentuk-bentuk batu nisan dan perkuburan lama di atas jelas menunjukkan terdapatnya pertembungan nilai dua budaya iaitu budaya Islam dan budaya Cina dalam rekabentuk makam dan batu nisan Islam di China ini. Bentuk makam batu seumpama keranda China adalah nilai budaya Cina, manakala bentuk kubah di atas makam batu itu pula adalah nilai budaya Islam. Rekabentuk batu nisan dan bentuk makam orang-orang Islam hampir sama dengan rekabentuk batu nisan atau perkuburan orang-orang Cina (bukan Islam). Perkuburan orang-orang Cina (bukan Islam) mempunyai batu nisan atau pusara yang tinggi. Jadi, inilah yang dikatakan pertembungan nilai dua budaya dalam rekabentuk permakaman atau perkuburan Islam di China. Ini menunjukkan bahawa terdapatnya proses asimilasi dalam rekabentuk permakaman (perkuburan) orang Islam di China dan amalan ini telah diterimapakai oleh komuniti Islam sejak zaman silam lagi. Sedangkan kebiasaannya, di Malaysia batu nisan dan bentuk perkuburan orang-orang Islam hanya menggunakan batu nisan yang rendah dan makamnya atau dikenali juga pusara adalah rendah.

Kita dapati makam Cina umumnya besar dengan nisan atau bongpay yang juga besar, manakala makam orang-orang Islam di China dan Hong Kong lebih sederhana. Namun tetap saja nisan bagi permakaman orang-orang Islam China jauh lebih besar dibandingkan dengan makam orang-orang Islam yang terdapat di Malaysia atau di Indonesia. Batu nisan bagi permakaman orang-rang Islam di Malaysia, Indonesia, Brunai dan sekitar Nusantara lain adalah rendah, lebih kecil dan mempunyai dua batu nisan. Pusara pula dikepung dengan papan atau tembok batu yang rendah kecuali bagi pusara raja-raja atau pembesar yangmana batu nisan dibina lebih besar serta lebih tinggi temboknya.

Satu lagi bentuk asimilasi budaya Cina dalam upacara keagamaan khususnya kematian dalam kalangan orang Islam di Cina ini ialah penggunaan colok. Colok ialah sejenis alat untuk haruman daripada gaharu yang dibakar apabila menghadapi imej keagamaan atau patung Buddha atau makam dalam tradisi masyarakat Cina. Colok biasanya dibakar di hadapan pintu atau depan makam, atau tingkap terbuka sebagai penyembahan ke kayangan, atau dewa-dewi. Secara umumnya, colok merupakan bahan keagamaan di China, India, Vietnam, Thailand, Taiwan, Myanmar, Kemboja, Korea dan Jepun. Amalan memegang lilin dan colok bagi orang Cina adalah budaya nenek moyang yang sudah turun temurun diamalkan. Amalan menyalakan lilin adalah budaya yang diamalkan oleh bangsa Cina turun temurun malah ia menjadi amalan kepada orang Islam di China. Di mana-mana masjid di China kita pasti akan dapat membeli colok yang dijual di masjid sebagai pengharum. Para imam (ahong), ahli jawatankuasa masjid dan umat Islam akan berbaris masuk ke dalam masjid dengan memegang colok yang dinyalakan untuk menghasilkan bau haruman (fungsi sama seperti membakar setanggi) sambil mengalunkan takbir raya. Sebelum melangkah masuk ke dewan sembahyang, colok itu ditinggalkan di luar masjid. Ini menunjukkan penggunaan colok telah menjadi sebahagian daripada amalan agama bagi masyarakat Islam di China. Pengaruh ini masih diamalkan lagi dalam kalangan masyarakat Islam China pada hari ini. Penggunaan colok dalam upacara keagamaan Islam di China seumpama beberapa pengaruh agama Hindu yang masih dipraktikkan oleh orang-orang Melayu dalam adat istiadat dan majlis keramaian tertentu. Begitu juga dengan penggunaan colok dalam masyarakat Islam China, ianya sudah berakar umbi dan menjadi sebahagian daripada budaya mereka. Hatta dalam upacara keagamaan sekalipun, ianya masih diamalkan.

Anda mungkin berminat

Kalendar

Aktiviti Promosi

Melancong ke Guilin secara Percuma

Like Kembara Sutera di www.facebook.com/kembarasutera, jawap soalan dan tinggalkan komen, anda berpeluang memenangi hadiah melancong ke Guilin secara percuma.

Ikuti Kami

Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin