Lokasi Anda: Laman Utama > Sinar Islam > Budaya Islam > Kandungan

Asimilasi Budaya terhadap Permakaman Orang Islam China

2014-11-15 16:13:47

(oleh Prof. Dr. Mohd. Taib bin Hj. Dora)

[Profesor Dr. Mohd. Taib Hj. Dora, dilahirkan pada 5 Julai 1961 di Kampung Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) dalam bidang Antropologi dan Sosiologi pada tahun 1984, Ijazah Sarjana (Sosiologi) pada tahun 1991 dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sosiologi Bandar pada tahun 1997 dari Universiti Malaya.]

Di China, komuniti Islam merupakan salah satu daripada 55 etnik minoriti. Sebahagian besar etnik minoriti di negara Tembok Besar ini iaitu sebanyak 25 daripadanya berada di Wilayah Yunnan. Dalam kalangan komuniti Islam ini terdapatnya etnik Hui, Uighur, Kazak, Khalkha, Uzbek, Tajik, Tatar, Salar, Dongxiang dan Bao'an. Etnik Hui merupakan kumpulan terbesar dan terpenting yang membentuk komuniti Islam di negara ini. Kumpulan etnik Hui merupakan hasil daripada perkahwinan di antara orang Arab dan Parsi dengan orang Cina. Hasil daripada perkahwinan campur ini, maka lahirlah suku etnik Hui atau Huizu. Pembentukan komuniti ini walaupun mempunyai budaya yang berbeza, namun akhirnya membentuk beberapa persamaan melalui proses asimilasi dengan etnik Han.

Pada peringkat permulaan, etnik Hui menggunakan bahasa Arab, Parsi dan Cina sebagai bahasa pengucapan mereka. Namun, lama kelamaan, mereka menggunakan bahasa Cina dalam hubungan sosial dan interaksi dengan kaum lain. Walau bagaimanapun, dalam upacara keagamaan, mereka masih mempertahankan dan menggunakan bahasa Arab dan Parsi. Mereka menganuti agama Islam dan terus menerus mempertahankan pegangan agama ini walaupun terdapat banyak halangan, tekanan dan cabaran. Ini terutama sekali berlaku pada zaman awal Dinasti Ming yang melarang etnik Hui menggunakan pakaian Islam, bahasa Arab dan nama Islam. Di samping berbagai tekanan dan larangan tersebut, umat Islam Hui masih mampu mempertahankan akidah dan ibadah mereka seperti membaza Quran, solat secara berjemaah pada hari Jumaat dan mengadakan perjumpaan pada hari-hari kebesaran Islam. Mereka menjadi begitu kukuh dalam persaudaraan Islam dan menjaga kebajikan serta keselamatan sesama Islam dengan begitu baik sekali. Semangat persaudaraan mereka membentuk satu pasukan atau sebuah keluarga Islam yang tersendiri dalam kalangan etnik Han yang majoriti dan mendominasi masyarakat China. Sebahagian daripada budaya mereka terutamanya berhubung dengan soal keagamaan tidak didedahkan kepada kaum lain. Justeru, tidak hairanlah terdapat anggapan sesetengah kaum lain di China bahawa kaum Hui ini hidup terasing dan terdapat budaya mereka yang tidak diketahui atau tidak didedahkan kepada masyarakat luar. Jadi tidak hairanlah masih terdapat sesetengah etnik Han di China yang tidak mengetahui cara orang Islam bersolat dan berasa hairan apabila kali pertama melihat etnik Hui atau orang Islam menunaikan solat.

Pada hari ini, budaya etnik Hui telah banyak yang bercampur aduk dengan budaya Cina, khususnya dari segi pemakanan, bahasa dan pakaian sehingga terbentuknya satu budaya Muslim yang bercorak Cina Islam. Budaya muslim Cina ini juga meresapi dalam berbagai aspek yang lain termasuklah aspek pemakaman orang-orang Islam di negara ini. Penulis percaya bahawa telah berlakunya proses asimilasi dalam soal pemakaman umat Islam di China ini berdasarkan pengamatan yang telah dijalankan. Semasa mengunjungi Bandar Che Feng, Mongolia Dalam, pada sambutan perayaan Aidil Adha tahun 2012 lalu, penulis berkesempatan meninjau upacara pengkebumian jenazah orang Islam di bandar ini. Ianya merupakan satu pengalaman yang amat bernilai untuk menyaksikan upacara pengurusan jenazah kaum muslim. Penulis bersama-sama sekumpulan pelajar Malaysia berkesempatan menyembahyangkan jenazah seorang lelaki muslim yang meninggal dunia pada sebelah pagi di Hari Raya Aidil Adha. Upacara sembahyang jenazah dilakukan di halaman Masjid Besar Utara dengan diketuai oleh Imam (ahong). Sembahyang sunat jenazah dilakukan dengan begitu pantas dan tiada banyak ritual ke atas upacara tersebut. Selesai upacara sembahyang jenazah, beberapa orang waris penting `si mati' akan berucap ringkas tanda terima kasih kepada yang hadir dan pergi bersalaman dengan para hadirin barisan utama. Ini dilakukan oleh beberapa orang `waris utama' secara bergilir-gilir. Selepas itu, jenazah dimasukkan ke dalam van jenayah untuk dibawa ke tanah perkuburan. Kawasan perkuburan orang Islam di bandar ini terletak lebih kurang 4 km dari Bandar Che Feng yang meliputi kawasan berbukit seluas lebih kurang 6 hektar persegi. Perkuburan Muslim di sini seumpama perkuburan bangsa Cina yang kebiasaannya terletak di tanah tinggi dan berbukit. Ianya mungkin bersamaan dengan konsep perkuburan bangsa Cina yang menjadikan kawasan berbukit sebagai simbolik status dan memudahkan `si mati' untuk ke langit atau ke alam yang lain. Selain itu, bentuk kuburan yang ditimbun tanah `membukit' sepertimana juga perkuburan orang-orang Cina. Ini menunjukkan bahawa terdapatnya pengaruh budaya Cina dalam soal penentuan kawasan dan penimbunan tanah perkuburan bagi masyarakat Islam di kawasan ini.

Anda mungkin berminat

Kalendar

Aktiviti Promosi

Melancong ke Guilin secara Percuma

Like Kembara Sutera di www.facebook.com/kembarasutera, jawap soalan dan tinggalkan komen, anda berpeluang memenangi hadiah melancong ke Guilin secara percuma.

Ikuti Kami

Kenali Beijing di FacebookCRI di FacebookApp Kembara Sutera di Facebook
Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin