Lokasi Anda: Laman Utama > Sinar Islam > Budaya Islam > Kandungan

Islam dan Masjid di Zaman Dinasti Ming

2014-11-15 16:08:04

Walaupun kenyataan sejarah mengatakan bahawa pada zaman Dinasti Ming ini orang-orang Islam tidak begitu diberikan perhatian, namun pada tanggapan penulis perkembangan Islam pada zaman Dinasti Ming terutamanya berkaitan dengan rumah ibadat, iaitu masjid amat baik sekali. Ini dibuktikan dengan terdapat banyak masjid yang didirikan pada zaman Dinasti Ming. Malahan masjid-masjid yang sedia ada dibangun serta dibaik pulih untuk orang-orang Islam beribadat. Ini termasuklah masjid-masjid penting di sekitar Beijing, Tian Jin, Xian, Kunming, Mongolia Dalam dan sebagainya. Di Beijing misalnya, Masjid Niujie yang telah dibina sebelum zaman Ming telah dibaik pulih mengikut senibina Dinasti Ming. Begitu juga Masjid Madian dan Masjid Dongsi di Utara Beijing. Di Tian Jin pula dibina Masjid Besar Selatan (Nan Da-Si) dan Masjid Besar Tian Jin (Qing Zhen Da-Si). Manakala di Mongolia Dalam terdapatnya Masjid Besar Selatan (Masjid Kuno) yang terkenal dibina pada zaman Dinasti Ming. Masjid Huaisheng di Guangzhou pula yang mula dibina sejak zaman Dinasti Tang telah turut dibaik pulih pada zaman Dinasti Ming. Reka bentuk masjid-masjid pada ketika ini menyamai antara satu sama lain berdasarkan senibina Ming. Ini termasuklah dari aspek bangunannya, bumbung dan ukiran dalaman serta luaran masjid-masjid berkenaan.

Satu persamaan ketara yang merupakan identiti unik senibina dan rekaan masjid di zaman Ming adalah pada bahagian bumbung masjid. Ianya direka secara melengkung dan pada bahagian hujung bumbung mempunyai ukiran binatang yang merupakan ukiran tradisi masyarakat Cina. Ukiran seumpama ini bukanlah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Lebih-lebih lagi bagi rumah ibadat utama bagi umat Islam ini. Namun, ukiran ini dibiarkan sedemikian rupa dan tidak diubah oleh masyarakat Islam kerana ukiran seumpama itu dapat dimengertikan oleh masyarakat Han atau bukan Islam sebagai lambang bahawa ianya bukanlah rumah ibadat. Orang-orang Islam meletakkan ukiran seumpama itu kerana bimbang dengan tanggapan negatif masyarakat bukan Islam terhadap rumah ibadat mereka. Bagi mengelakkan `ancaman pihak luar', maka orang-orang Islam meletakkan ukiran binatang-binatang tersebut sama seperti ukiran di bangunan-bangunan lain yang dibina oleh orang-orang Han supaya tidak menampakkan kelainan dan berbau keagamaan. Dengan itu, jika diperhatikan ukiran bumbung semua masjid yang dibina pada zaman Dinasti Ming (termasuk masjid yang dibaik pulih) meletakkan ukiran binatang di bahagian bumbung masjid, sama seperti yang terdapat pada bahagian hujung bumbung bangunan-bangunan lama di Forbidden City serta bangunan utama kuno yang lain di China.

 Satu lagi perkara unik yang terdapat pada ukiran di masjid-masjid zaman Dinasti Ming adalah terdapatnya ukiran atau gambar naga di dinding atau bahagian atas bumbung masjid. Mengikut tradisi masyarakat Cina khususnya pada zaman Dinasti Ming, `naga' adalah lambang `maharaja'. Orang kebanyakan tidak boleh menggunakan ukiran atau gambar naga pada pakaian, bangunan atau pada apa sahaja. Pendeknya, hanya `maharaja' yang boleh menggunakan lambang `naga' sama ada secara ukiran maupun lukisan. Oleh yang demikian, apabila terdapatnya `ukiran naga' di masjid-masjid zaman Dinasti Ming menunjukkan bahawa ianya merupakan suatu `pengikhtirafan oleh maharaja' terhadap `kewujudan' masjid-masjid tersebut. Dalam erti kata lain, pembinaan atau baik pulih sesebuah masjid hanya boleh dilakukan dengan izin maharaja dan `lambang naga' itu diletakkan pada ukiran di masjid bagi membuktikan bahawa masjid tersebut telah diikhtiraf oleh maharaja. Dengan itu, apabila seseorang pegawai kerajaan zaman Dinasti Ming atau rakyat biasa sekalipun apabila melalui kawasan masjid dan mendapati terdapat ukiran naga pada bangunannya, pegawai berkenaan akan tunduk hormat pada lambang tersebut, iaitu sama seperti mereka menundukkan kepala tanda hormat kepada maharaja. Malahan, sekiranya mereka berkuda sekalipun, apabila melihat lambang `naga', mereka akan berhenti menunggang kuda lalu turun tunduk hormat pada bangunan atau lambang tersebut. Jadi, masjid yang mempunyai lambang `naga' akan terpelihara atau terselamat daripada sebarang kerosakan dan kemusnahan musuh-musuh dari luar. Mereka tidak akan merosakkan bangunan yang mempunyai ukiran naga sebagai satu penghormatan kepada maharaja mereka sendiri.

Berdasarkan alasan-alasan yang telah dinyatakan tadi, kebanyakan masjid yang dibina atau dibaik pulih pada zaman Dinansti Ming biasanya mempunyai ukiran binatang pada bahagian bucu bumbungnya dan juga gambar atau ukiran naga pada bahagian dinding atau tiang bahagian luar masjid. Ianya bukanlah lambang agama Islam. Malahan bagi sesetengah pihak ianya seperti zaman jahiliah. Namun, bagi orang Islam di China mereka mempunyai alasan yang tersendiri. Ukiran dan gambar tersebut sebagai memberitahu orang luar bahawa bangunan ini sama sahaja seperti bangunan orang-orang Cina yang lain, yang tidak bersifat keagamaan dan tidak mengancam mereka. Ukiran-ukiran tersebut terutamanya `ukiran naga' sengaja dipamerkan kepada orang ramai bagi menunjukkan bahawa bangunan itu `telah diikhtiraf oleh maharaja' dan tidak boleh sewenang-wenangnya merosakkan atau mencerobohi bangunan tersebut. Strategi ini sebagai penyelamat dan survival masjid pada ketika itu. Dengan sebab itu, bangunan masjid di zaman Dinasti Ming ini dapat dipelihara keutuhannya hingga ke hari ini.

Anda mungkin berminat

Kalendar

Aktiviti Promosi

Melancong ke Guilin secara Percuma

Like Kembara Sutera di www.facebook.com/kembarasutera, jawap soalan dan tinggalkan komen, anda berpeluang memenangi hadiah melancong ke Guilin secara percuma.

Ikuti Kami

Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin