Sebahagian besar orang menari untuk mengekalkan kecergasan atau menurunkan berat badan. Kajian terbaharu mendapati, menggerakkan badan mengikut irama muzik juga memiliki manfaat terapi dalam membantu pesakit kanser memulihkan keseimbangan tubuh selepas menjalani kemoterapi.
Hampir 70 peratus pesakit menderita kerosakan saraf tangan dan kaki selepas menjalani kemoterapi selama sebulan. Bahkan satu daripada tiga pesakit masih merasakan gejala sama meskipun setelah enam bulan menjalani rawatan.
Penyelidik di Pusat Kanser Komprehensif Universiti Ohio State (OSU), Amerika Syarikat mencari cara membantu pesakit memulihkan keseimbangan dengan mengajar tarian tango. Mimi Lamantia, salah seorang pembantu penyelidik berkata, dalam tempoh lima minggu berlatih tango, pesakit dapat mengurangkan gerakan kaku di bahagian rusuk dan sendi sehingga 56 peratus.
Tarian tango bukan hanya membantu memperbaiki gerakan tubuh, tetapi juga bermanfaat membantu proses regenerasi otot-otot dalam kalangan pesakit.
(sumber: Kosmo Online Malaysia)