Lokasi Anda: Laman Utama > Santai > Kesihatan > Kandungan

6 Manfaat Buah Naga

2016-07-25 16:10:06

Setiap gigitan buah tropika ini memberi banyak manfaat kepada tubuh manusia. Buah naga juga dikenali dengan nama pitaya, ada kalanya mempunyai rasa manis atau masam mengikut jenisnya.

Buah yang memiliki kulit luar seperti bentuk duri itu dikatakan mampu memberi perlindungan kepada tubuh daripada proses penuaan yang pantas dan masalah diabetes.

Buah naga selamat dimakan oleh ibu hamil dan ibu menyusukan bayi di samping mengandungi vitamin C, kaya dengan asid lemak serta fosforus.

Ada enam manfaat yang dapat diperoleh daripada buah eksotik ini.

1. Antipenuaan

Antioksidan menjadi antara faktor yang membantu mengekalkan keanjalan dan keremajaan kulit. Kehadirannya membantu menentang radikal bebas di seluruh badan untuk menghalang pengaktifan sel kanser.

Buah naga adalah sumber yang baik untuk mendapatkan manfaat antioksidan kerana ia mengandungi vitamin C.

2. Menghalang kanser

Selain kaya dengan vitamin C, buah naga juga mengandungi karotena yang dikaitkan dengan antikarsinogenik termasuk mengurangkan jumlah penghasilan tumor. Selain itu, kandungan likopena yang berfungsi memberi warna merah kepada buah naga juga sering dikaitkan dengan manfaat dalam mengurangkan risiko mendapat kanser prostat.

Kajian yang disiarkan dalam Jurnal Asia Pasifik mengenai pencegahan kanser pada 2011 mendapati pengambilan likopena kurang daripada 2.5 miligram sehari meningkatkan risiko mendapat kanser prostat.

Sebaliknya, pengambilan buah, sayur atau makanan yang kaya dengan likopena termasuk melakukan aktiviti fizikal pula membantu mengurangkan risiko kanser berkenaan.

3. Kesihatan kardiovaskular

Buah naga membantu meningkatkan kesihatan jantung kerana ia mampu mengurangkan tahap kolesterol tidak baik. Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Pharmacognosy Research pada 2010 menemui pengambilan buah naga mungkin boleh membantu menurunkan risiko penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.

Malah, buah eksotik ini juga adalah sumber yang baik bagi lemak garam mono yang membantu mengekalkan kesihatan fungsi jantung.

4. Diabetes

Kandungan serat yang tinggi di dalam buah naga membantu menstabilkan tahap gula dalam darah seseorang. Ia juga membantu merencatkan gula yang berlebihan ketika mengambil makanan yang tinggi indeks glisemik.

Di dalam kajian sama turut menemui buah berkenaan mempunyai kesan yang berharga dalam tekanan oksidatif daripada kekejangan aorta (arteri terbesar dalam badan), masalah yang dikaitkan dengan kencing manis.

5. Penghadaman

Buah naga mempunyai kandungan serat yang tinggi, bermaksud ia membantu memperbaiki pergerakan usus dengan memudahkan laluan di bahagian saluran penghadaman. Pengambilan buah eksotik ini boleh membantu mengurangkan masalah sembelit dan sindrom gangguan usus.

6. Meningkatkan sistem imun

Tahap kandungan vitamin C yang tinggi di dalam buah naga membantu meningkatkan sistem imun selain merangsang aktiviti antioksidan lain.

Kehadiran jumlah vitamin C, mineral dan fitoalbumin yang tinggi juga membantu melawan radikal bebas selain memiliki sifat antioksidan. Vitamin B1, B2, B3 dan kalsium, fosforus, zat besi, protein, niasin serta serat juga menyumbang kepada peningkatan fungsi sistem imun badan.

Bagi mendapatkan manfaat buah naga kepada kesihatan tubuh, boleh cuba nikmati jus minuman yang menyegarkan ini. Caranya juga mudah dan tidak memerlukan kos besar untuk mengamalkan pengambilan diet yang menyihatkan.

(sumber: myMetro Malaysia)


Anda mungkin berminat

Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin