Rasa marah tidak hanya dirasai orang dewasa sebaliknya kanak-kanak juga mempunyai perasaan ini. Kemarahan bagi si kecil biasanya ditunjukkan dengan perlakuan seperti menjerit, menangis, berguling di lantai atau melempar barang.Biasanya kemarahan berlaku ada sebabnya. Mengetahui penyebab anak cepat marah akan memudahkan ibu bapa meredakan kemarahan mereka.
Terdapat beberapa faktor anak cepat marah antaranya:
1. Meniru tingkah laku orang tua
Anak ialah peniru yang baik. Anak akan meniru atau mencontohi perangai ibu bapanya. Jika ibu bapa sering marah, anak juga akan meniru perilaku orang tuanya dengan menjadi anak yang pemarah dan sering mengamuk. Ini kerana anak merasakan marah adalah perkara biasa dilakukan orang tua.
2. Keinginan yang tidak dituruti ibu bapa
Kebanyakan anak menjadi pemarah kerana keinginan tidak dituruti ibu bapa.
Marah dan mengamuk ialah salah satu cara efektif agar keinginan mereka dipenuhi ibu bapa. Ibu bapa perlu bijak menangani sikap anak kerana jika keinginan mereka selalu dituruti, ia akan menjadi kebiasaan.
3. Rasa ingin tahu yang tidak terjawab
Fasa kanak-kanak adalah masa mereka mempunyai rasa ingin tahu yang kuat. Namun adakalanya rasa ingin tahu ini menjadi penyebab anak sering marah dan mengamuk.
Rasa ingin tahu anak mengenai sesuatu yang tidak dijawab ibu bapa akan menimbulkan kekecewaan dan berakhir dengan kemarahan.
4. Ketakutan dan kegelisahan
Ketakutan dan kegelisahan juga menjadi penyebab anak sering marah dan mengamuk. Ia akan membuatkan anak menjadi tidak tenang, dan mengungkapkannya dalam bentuk kemarahan dengan harapan agar mendapatkan perhatian ibu bapa.
5. Menarik perhatian
Penyebab anak sering marah adalah untuk menarik perhatian. Kesibukan ibu bapa membuatkan anak-anak kurang mendapat perhatian justeru anak berusaha mencari perhatian.
6. Menunjukkan apa yang anak tidak suka
Hal yang tidak disukai anak-anak seperti berjumpa doktor, jika dipaksa boleh menjadi punca anak-anak menjadi pemarah.
(sumber Harian Metro Malaysia)