Yang penting dalam hubungan muzik dan prestasi senaman adalah tempo muzik. Muzik dengan tempo yang laju cenderung membangkitkan semangat, manakala muzik yang beritma perlahan cenderung untuk memberikan rasa tenang.
Jenis muzik yang merangsang tindak balas luar sedar ini berbeza antara individu dengan individu yang lain dan bersifat peribadi. Dalam satu kajian dalam kalangan pelajar universiti di Amerika Syarikat, muzik hip-hop adalah muzik yang paling digemari semasa bersenam diikuti muzik rock dan pop.
Seperti disebut, tempo muzik mempunyai hubungan dengan prestasi senaman pendengarnya. Apabila mendengar muzik dengan tempo tertentu, pendengarnya cenderung untuk menyelaraskan usaha mereka dengan tempo muzik yang didengar. Tempo muzik yang sederhana dan laju cenderung untuk meningkatkan usaha fizikal individu seperti kelajuan larian dan tahap ketahanan diri.
Selain itu, muzik juga berfungsi untuk menyederhanakan gejala keletihan. Umum mengetahui bahawa selepas tempoh tertentu, aktiviti senaman akan menghasilkan tindak balas fisiologi yang menandakan badan telah berfungsi pada tahap maksimum seperti peningkatan tahap laktat dalam darah, peningkatan kadar degupan jantung pada tahap tinggi dan pengeluaran peluh yang berlebihan.
Di sebalik reaksi fisiologi badan ini, muzik mampu mempengaruhi minda untuk meningkatkan lagi prestasi fizikal tubuh melalui mekanisme tumpuan minda terhadap muzik berbanding dengan rasa penat yang dialami.
Hal tersebut akan mempengaruhi persepsi mengenai tahap keletihan yang dialami.
Mendengar muzik sambil bersenam merupakan satu pilihan untuk merangsang emosi positif yang lebih tinggi semasa melakukan aktiviti tersebut.
Walaupun pemilihan jenis muzik adalah sesuatu yang peribadi, pandangan mereka yang pakar harus diambil kira dalam menentukan jenis muzik untuk tujuan khusus, seperti untuk meningkatkan prestasi sukan ataupun untuk kegunaan terapi senaman dalam konteks klinikal.
Hal tersebut disebabkan muzik yang berbeza diketahui memberikan reaksi emosi dan fisiologi yang berbeza.
(sumber: Utusan Online Malaysia)