Masihkah kita ingat semasa di bangku sekolah, guru akan memantau kebersihan anak muridnya dengan melihat kuku sama ada panjang atau pendek, bersih atau kotor?
Hal ini disebabkan kuku sering dinilai sebagai penanda aras utama dalam bab penjagaan kesihatan dan kebersihan. Kuku yang bersih mencerminkan kebersihan yang tinggi pada diri seseorang.
Keadaan tersebut berdasarkan penggunaan tangan untuk sebarang aktiviti seperti makan, bermain, menulis, dan sebagainya. Oleh itu, kuku menjadi penentu sama ada sesuai atau tidak untuk melakukan aktiviti tersebut.
Sebagai contoh, sebelum makan kita perlu memastikan tangan bersih dan jika kuku panjang, kotoran yang berada di celah kuku perlu dibersihkan.
Untuk mendapatkan kesihatan badan yang baik, kuku memainkan peranan penting kerana segala bakteria yang dipegang atau tidak sengaja dipegang ketika melakukan sebarang kerja akan masuk ke dalam badan menerusi tangan ke dalam mulut.
Cara-cara yang sesuai untuk membersihkan tangan, terutamanya kuku.
1) Kuku sentiasa bersih dan kering
Kuku perlu dibersihkan dan dijaga agar sentiasa kering kerana tangan atau kuku yang basah mudah untuk menyimpan bakteria yang menyebabkan penyakit. Gunakan kain bersih atau kapas untuk membersihkan celah kuku jika terdapat kotoran. Gunakan sarung tangan untuk tujuan membasuh, berkebun atau kerja-kerja lain bagi memastikan kuku sentiasa bersih.
2) Gunakan pengetip kuku yang tajam
Untuk memotong kuku yang panjang, penggunaan pengetip kuku yang tajam amat disarankan. Pengetip kuku yang tajam akan memberikan potongan yang kemas dan tidak meninggalkan kawasan yang boleh menyebabkan pembiakan bakteria dan menyimpan kotoran. Pastikan celah-celah kuku bersih dan lebihan kuku dipotong kemas.
3) Gunakan pembersih dan pelembap tangan
Apabila menggunakan pembersih dan pelembap tangan, gosok juga pada bahagian kuku dan kutikel bagi membersihkan kawasan yang tidak dapat dicapai oleh pengetip kuku. Pelembap dan pembersih akan membantu menyerap kotoran di celah-celah kuku bagi memberikan kebersihan kuku yang menyeluruh.
4) Gunakan krim kuku
Krim kuku boleh didapati di farmasi untuk menguatkan kuku dan menghindarkan kuku daripada terkena penyakit seperti kuku terbelah, rapuh dan juga kulat kuku. Penggunaan krim ini mampu menjadikan kuku lebih sihat dan kuat. Terdapat krim kuku bervitamin untuk memberikan khasiat kepada kuku anda.
5) Pantau kuku anda!
Bagi sesetengah individu, kuku sering dilupakan, namun masalah yang dihadapi pada kuku sama ada kuku kaki atau kuku tangan akan membuatkan seseorang itu mengalami masalah kesihatan. Jika terdapat sebarang pendarahan atau keraguan, lebih baik berjumpa dengan doktor untuk nasihat lanjut.
(sumber daripada Utusan Online Malaysia)