Lokasi Anda: Laman Utama > Santai > Kesihatan > Kandungan

Rangsang Emosi Positif

2015-10-09 11:06:01

Rangsang Emosi Positif

Emosi mempunyai pengaruh yang sangat besar kepada kesihatan. Sama seperti emosi negatif, emosi yang positif seperti keseronokan juga mempunyai pengaruh kepada tahap kesihatan emosi dan fizikal individu.

Tekanan dan masalah yang boleh mencetuskan kepelbagaian emosi negatif adalah perkara normal dalam kehidupan seharian. Kepentingan untuk menangani emosi negatif tersebut adalah jelas. Oleh itu, ruangan ini akan menyenaraikan beberapa kaedah ringkas untuk merangsang emosi positif.

Tumpuan dan perhatian berfungsi dalam bentuk tertentu. Apabila minda tertumpu pada sesuatu perkara, minda tersebut akan mengabaikan perkara yang lain. Oleh hal yang demikian, apabila minda tertumpu kepada perkara yang negatif, minda akan mengabaikan perkara yang positif, dan sebaliknya. Oleh itu, mengalihkan perhatian dan tumpuan minda daripada perkara yang negatif kepada sesuatu yang lebih neutral dan menceriakan akan membantu merangsang emosi positif.

Kaedah-kaedah yang berikut boleh digunakan untuk mengalihkan perhatian minda daripada perkara yang membebankan dan merangsang emosi diri yang lebih positif.

1. Membaca bahan bacaan yang memberikan inspirasi kepada diri

Jika anda berasa tidak bermotivasi dan terbeban dengan masalah, carilah masa untuk membaca buku dan bahan bacaan lain yang dapat memberikan inspirasi kepada diri. Buku-buku biografi atau autobiografi kehidupan individu yang telah berjaya boleh dijadikan sumber inspirasi.

2. Cari masa untuk menonton filem dan cerita-cerita kegemaran anda

Cari masa untuk menonton filem dan cerita kegemaran, terutamanya filem dalam genre lawak jenaka. Filem-filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, contohnya adalah pencetus emosi positif yang baik. Emosi sering dipengaruhi oleh perkara yang dilihat dan didengar. Oleh hal yang demikian, jika anda berada dalam keadaan sedih dan bermasalah, elakkan diri daripada menonton filem bergenre sedih yang boleh menambahkan keamatan emosi tersebut.

3. Elak seketika menonton berita

Paparan-paparan berita kebelakangan ini sering berkait dengan perkara yang membangkitkan emosi negatif seperti marah dan sedih. Oleh itu, elakkan diri daripada menonton berita untuk seketika.

4. Bersukan dan bersenam

Bersukan dan bersenam dapat menggalakkan pengeluaran hormon yang menimbulkan perasaan tenang. Selain itu, interaksi sosial yang berlaku semasa sesi senaman dan bersukan dapat mencetuskan emosi positif. Pelbagai bentuk aktiviti senaman dan sukan boleh dipilih, sama ada secara bersendirian atau berkumpulan. Jadikanlah aktiviti tersebut satu amalan yang dapat memberikan kebaikan jangka panjang kepada kesihatan secara menyeluruh.

5. Dengar muzik yang memberikan semangat

Kajian menunjukkan bahawa muzik dikenal pasti sebagai medium untuk meningkatkan emosi positif. Luangkan masa untuk mendengar alunan muzik kegemaran anda yang dapat menceriakan mood. Bagi umat Islam, mendengar alunan bacaan al-Quran juga dapat menenangkan perasaan.

6. Usahakan impian

Setiap orang mempunyai impian. Jika impian ingin memulakan perniagaan, libatkan diri dengan aktiviti ke arah merealisasikan impian tersebut. Sekadar berimpian tanpa meletakkan sebarang usaha tidak akan dapat merealisasikan impian tersebut.

7. Gunakan teknik pernafasan dalam dan perlahan

Emosi yang dialami individu biasanya akan menyebabkan perubahan fisiologi badan seperti peningkatan kadar pernafasan dan kadar degupan jantung. Oleh hal yang demikian, jika anda berada dalam keadaan beremosi, seperti marah dan kecewa, tarik nafas perlahan-lahan dan bernafaslah dalam-dalam. Keadaan ini akan meneutralkan emosi dan mencetuskan rasa tenang.

8. Senyuman dan gelak tawa

Gelak ketawa dan senyuman adalah perangsang emosi positif yang sangat baik. Ada ketika dalam kehidupan seharian kita dibebani dengan masalah dan tiada apa-apa yang dapat menceriakan diri kita. Jika berada dalam keadaan tersebut, carilah sesuatu untuk merangsang rasa lucu dan ceria.

9. Luangkan masa untuk melawat ke tempat yang belum pernah dilawati

Dengan mengikut kemampuan masing-masing, luangkan masa untuk melawat ke tempat-tempat menarik yang berdekatan dengan rumah yang belum pernah dilawati.

10. Amalkan kaedah istirahat

Istirahat adalah kaedah merehatkan minda untuk mencapai ketenangan. Jika berada dalam situasi yang mencetuskan emosi negatif, gunakan kaedah membilang dari belakang (contohnya dari 10 ke 1) sehingga emosi negatif tersebut pudar. Gunakan juga kaedah pernafasan dalam dan perlahan seperti yang disebut di atas.

Kaedah-kaedah di atas boleh dicuba untuk merangsang emosi ke arah yang lebih positif, dan seterusnya menyumbang kepada kesihatan diri yang lebih menyeluruh.

(sumber daripada Utusan Online Malaysia)

Anda mungkin berminat

Kalendar

Aktiviti Promosi

Melancong ke Guilin secara Percuma

Like Kembara Sutera di www.facebook.com/kembarasutera, jawap soalan dan tinggalkan komen, anda berpeluang memenangi hadiah melancong ke Guilin secara percuma.

Ikuti Kami

Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin