Lokasi Anda: Laman Utama > Santai > Kesihatan > Kandungan

Minyak Zaitun Bantu Cegah Penyakit Kronik

2015-09-01 15:09:37

Minyak Zaitun Bantu Cegah Penyakit Kronik

Pemakanan sihat adalah kunci kesihatan yang baik. Pemahaman mengenai khasiat makanan sangat penting untuk menjaga kesihatan. Pengetahuan tentang lemak atau minyak yang sihat sangat penting untuk kesihatan kerana bukan semua lemak atau minyak tidak sihat.

Sejak 50 tahun lalu, kajian sains menunjukkan antara minyak yang baik untuk kesihatan ialah minyak zaitun. Minyak zaitun berasal daripada buah zaitun yang sering digunakan dalam pemakanan dan juga kegunaan luar untuk disapu pada kulit.

Kajian saintifik telah membuktikan khasiat minyak zaitun dan minyak zaitun telah menjadi bahan utama dalam makanan Mediterranean yang terbukti secara saintifik sangat menyihatkan.

Minyak zaitun mengandungi lemak mono tak tepu (MUFA) yang menyihatkan, di samping lemak tepu dan juga lemak poli tak tepu (PUFA) termasuk Omega 3 dan 6.

Minyak zaitun juga mengandungi bahan antioksidan, iaitu hydroxy tyrosol, oleocanthal, skualena dan beta karotena. Minyak zaitun juga mengandungi vitamin E tokoferol dan juga vitamin K.

Kajian sains menunjukkan penduduk Mediterranean yang banyak mengambil minyak zaitun dalam pemakanan mereka mempunyai kadar sakit jantung yang jauh lebih rendah berbanding dengan penduduk di Amerika Utara dan utara Eropah.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal perubatan Pharmacological Research 2007 menunjukkan seseorang yang mengambil minyak zaitun dengan kerap akan mempunyai risiko lebih rendah mendapat penyakit kardiovaskular, iaitu penyakit jantung, darah tinggi, strok dan kolesterol tinggi.

Kajian ini juga menunjukkan pengambilan minyak zaitun secara kerap akan mengurangkan masalah keradangan dan disfungsi endothelium saluran darah koronari serta saluran darah tersumbat (thrombosis).

Kajian lain menunjukkan pengambilan minyak zaitun setiap hari mampu mencegah strok.

Kajian ini dilaporkan dalam jurnal perubatan Neurology pada 2011 yang menunjukkan seseorang yang mengambil minyak zaitun setiap hari mempunyai 41 peratus risiko lebih rendah mendapat strok berbanding dengan seseorang yang tidak mengambil minyak zaitun.

Satu lagi kajian menarik menunjukkan pengambilan minyak zaitun setiap hari juga boleh mencegah kanser payudara. Sepasukan ahli sains dari Universitat Autonoma de Barcelona di Sepanyol melaporkannya pada 2010.

Pengkaji ini mendapati minyak zaitun mengurangkan aktiviti onkogen p21Ras, mencegah kerosakan DNA sel dan menggalakkan kematian sel kanser payudara secara spontan.

Kajian ini menunjukkan minyak jagung yang kaya dengan Omega 6 mempunyai kesan yang bertentangan dengan minyak zaitun. Oleh itu, pengambilan minyak zaitun boleh kita amalkan sebagai suplemen harian untuk mencegah penyakit berbahaya.

Kajian khusus mengenai penyakit Alzheimer juga mendapati minyak zaitun boleh mencegah penyakit ini kerana kandungan bahan oleocanthal yang terkandung di dalamnya.

Pelbagai lagi kajian saintifik yang dijalankan di seluruh dunia menunjukkan penggunaan minyak zaitun mengurangkan masalah kemurungan, menguatkan memori, bengkak pankreas akut (acute pancreatitis), penyakit hati akibat stres oksidatif dan penyakit bengkak usus (ulcerative colitis).

Kita boleh mengamalkan minyak zaitun dalam pemakanan seharian sebagai makanan kesihatan atau diambil sebagai suplemen harian untuk membantu mencegah pelbagai penyakit kronik.

(sumber daripada: http://www.hmetro.com.My/node/69166)

Anda mungkin berminat

Kalendar

Aktiviti Promosi

Melancong ke Guilin secara Percuma

Like Kembara Sutera di www.facebook.com/kembarasutera, jawap soalan dan tinggalkan komen, anda berpeluang memenangi hadiah melancong ke Guilin secara percuma.

Ikuti Kami

Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin