![]() |
Karbohidrat sering dianggap penyebab kegemukan sehingga pengambilannya terpaksa dikurangkan dalam diet harian. Bagaimanapun, para penyelidik dari Universiti Edinburgh, Scotland mendapati pengambilan makanan tersebut sebenarnya dapat membantu mengurangkan berat badan, sekali gus mengelakkan obesiti. Salah seorang penyelidik, Dr. Helen Bond memberitahu, responden yang mengambil paling banyak karbohidrat kompleks dalam diet harian mereka berisiko 40 peratus lebih rendah untuk menjadi gemuk berbanding dengan mereka yang tidak mengambil karbohidrat. Jelas beliau, responden yang enggan mengambil karbohidrat lebih cepat letih dan mudah berasa lesu. Daya tumpuan juga lebih rendah sehingga mengakibatkan prestasi kerja mereka menurun. Apabila keadaan ini berlaku, mereka cenderung untuk mengambil makanan atau minuman manis bagi memberikan tenaga ekstra dan hal tersebut boleh menyebabkan kegemukan melalui pengambilan kalori secara berlebihan. Helen yang juga jurucakap Persatuan Dietetik British mengesyorkan pengambilan karbohidrat kompleks seperti beras perang, barli, ubi keledek dan roti gandum penuh untuk memenuhi keperluan nutrisi tubuh. (sumber dari http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0426&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm) |