Lokasi Anda: Laman Utama > Kebudayaan > Budaya Tradisi > Kandungan

Kalendar 24 Musim: Serangga Terjaga

2015-05-12 15:21:17

Kalendar "24 musim" merupakan satu sistem yang membahagikan masa setahun kepada 24 penggal yang panjangnya hampir sama dan perubahan iklimnya tidak besar. Sistem kalendar tersebut merupakan hasil kajian rakyat China setelah menjalankan cerapan cakerawala dan membuat pemerhatian yang teliti dalam bidang meteorologi. Sistem kalendar itu telah menjadi alat yang sangat berguna bagi kaum tani kerana daripada kalendar itu, mereka boleh mengetahui masa yang paling sesuai untuk melakukan aktiviti pertanian seperti penanaman dan penuaian.

Berdasarkan catatan sejarah, pada tahun 104 Sebelum Masihi orang China telah menghasilkan kalendar "24 musim". Rakyat China pada zaman purba juga telah menciptakan "Lagu 24 Musim" dan "Sajak 24 Musim" supaya orang ramai lebih mudah untuk mengingat akan sistem kalendar itu.

Kalendar 24 Musim: Serangga Terjaga

"Serangga Terjaga" merupakan penggal ketiga dalam kalendar "24 Musim" selepas "hujan". Hari pertama penggal itu iaitu hari "Serangga Terjaga" yang jatuh pada 5 hb, 6 hb atau 7 hb bulan Mac setiap tahun. Hari "Serangga Terjaga" bagi tahun ini telah jatuh pada 6 Mac lalu. Berdasarkan hasil kajian rakyat China yang diwarisi turun-temurun, selepas hari "Serangga Terjaga", cuaca akan menjadi semakin panas, serangga yang tidur di bawah tanah akan terjaga daripada tidur pada sepanjang musim sejuk apabila mendengar dentuman guruh pertama bagi musim bunga dan akan mulai aktif. Manakala, telur serangga yang berada di dalam tanah pada sepanjang musim sejuk juga akan mula menetas. Daripada itu, kita boleh tahu bahawa "Serangga Terjaga" biasanya dikaitkan dengan fenomena alam.

Walau bagaimanapun, seperti yang diketahui umum bahawa terjaganya serangga daripada tidur bukanlah dikejutkan oleh dentuman guruh, tapi diakibatkan oleh kenaikan suhu udara dan suhu tanah.

Rakyat China pada zaman purba sangat mementingkan ketibaan hari "Serangga Terjaga" kerana ini menandakan bermulanya aktiviti penanaman. Terdapat satu bidalan tentang hari itu yang berbunyi: "selepas berlalunya hari 'Serangga Terjaga', aktiviti penanaman akan menjadi tidak henti-henti". Ini kerana selepas hari "Serangga Terjaga", suhu udara akan beransur-ansur naik dan penurunan hujan juga akan meningkat. Semua ini merupakan syarat yang baik bagi aktiviti penanaman pada musim bunga.

Penyajak China, Tao Yuanming yang hidup pada penghujung Abad Ke-4 Masihi pernah menulis sajak yang menggambarkan hari "Serangga Terjaga" sebagai berbunyi: "guruh berdentum di langit timur, semua binatang terjaga daripada tidur sepanjang musim sejuk dan mula bergerak di sana sini. Pohon-pohon dan rumput-rumput juga mula menghijau dan tumbuh untuk menyambut kedatangan musim bunga"

Terdapat juga bidalan mengenai hari "Serangga Terjaga" tersebut. Ada yang mengatakan bahawa "jika dentuman guruh didengari sebelum hari "Serangga Terjaga", jumlah hujan yang turun pada tahun itu akan menjadi sangat banyak. Jika dentuman guruh pertama musim bunga kebetulan didengari pada hari "Serangga Terjaga", maka dipercayai kaum tani akan memraih tuaian yang baik. Yang kurang baiknya adalah: jika sudah lama hari "Serangga Terjaga" berlalu, namun masih tidak kedengaran dentuman guruh, maka jumlah hujan yang turun pada sepanjang tahun akan berkurang dan mengakibatkan tuaian tahun itu turut terjejas.

Di China, disebabkan wilayahnya yang begitu luas, jadi masa kedengaran dentuman guruh pertama musim bunga di pelbagai tempat adalah berbeza-beza. Bidalan tersebut boleh dibuktikan di kawasan aliran Sungai Yangtze. Tapi, di utara China seperti Beijing, dentuman guruh biasanya hanya akan didengari hingga pertengahan bulan April.

Kalendar 24 Musim: Serangga Terjaga

Anda mungkin berminat

Kalendar

Aktiviti Promosi

Melancong ke Guilin secara Percuma

Like Kembara Sutera di www.facebook.com/kembarasutera, jawap soalan dan tinggalkan komen, anda berpeluang memenangi hadiah melancong ke Guilin secara percuma.

Ikuti Kami

Kenali Beijing di FacebookCRI di FacebookApp Kembara Sutera di Facebook
Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin