Kalendar "24 Musim" merupakan satu sistem kalendar yang diciptakan oleh rakyat China pada zaman purba berdasarkan perubahan iklim, sukatan hujan dan pelbagai fenomena alam yang lain.
Dalam sistem "24 musim", masa setahun dibahagikan kepada 24 penggal yang panjangnya hampir sama dan perubahan iklimnya tidak besar. Sistem kalendar "24 musim" merupakan hasil kajian rakyat China setelah menjalankan cerapan cakerawala dan membuat pemerhatian yang teliti dalam bidang meteorologi. Sistem kalendar itu telah memainkan peranan penting dalam aktiviti pengeluaran pertanian.
Berdasarkan catatan sejarah, pada tahun 104 Sebelum Masihi orang China telah menghasilkan kalendar "24 musim". Rakyat China pada zaman purba juga telah menciptakan "Lagu 24 Musim" dan "Sajak 24 Musim" supaya orang ramai lebih mudah untuk mengingat akan sistem kalendar itu.
Berikutnya, saya akan perkenalkan penggal pertama dalam "24 Musim" iaitu "Permulaan Musim Bunga". Hari "Permulaan Musim Bunga" menandakan ketibaan musim bunga di China dan biasanya jatuh pada 4 Februari setiap tahun. Tahun Baru China tidak semestinya jatuh pada hari "Permulaan Musim Bunga". Misalnya, Tahun Baru China bagi tahun ini disambut pada 18 Februari, iaitu lewat 14 hari daripada hari "Permulaan Musim Bunga". Bagi kaum tani, "Permulaan Musim Bunga" juga menandakan bermulanya musim penyemaian benih atau penanaman, kerana dalam dunia alam semula jadi, musim bunga merupakan musim bertunas dan mula tumbuh serta haiwan terjaga daripada tidur pada sepanjang musim sejuk. Bermula dari hari "Permulaan Musim Bunga" suhu udara, sinaran matahari dan sukatan hujan akan menjadi semakin bertambah. Selepas hari itu, segala tamanan pertanian juga bertumbuh semakin pesat dan memerlukan lebih banyak air. Maka, bermula dari hari itulah, kaum tani akan lebih giat bercucuk tanam, lebih kerap menyiram dan menggunakan baja untuk menambah kesuburan tanah. Oleh sebab China merupakan sebuah negara pengeluar keluaran pertanian yang besar, maka kaum tani di China lebih mementingkan hari "Permulaan Musim Bunga".
Sempena ketibaan hari "Permulaan Musim Bunga", rakyat China pada zaman purba akan mengadakan pelbagai aktiviti untuk menyambut permulaan penggal itu. Dalam pada itu, "sambutan musim bunga" merupakan adat istiadat yang paling penting. Istiadat itu diadakan sehari sebelum hari"Permulaan Musim Bunga" yang bertujuan untuk mengalu-alukan kedatangan "musim bunga" dan "dewa musim bunga". Orang ramai akan membina pondok di kawasan ladang mereka dan menyediakan lilin, colok dan wain putih. Seorang kanak-kanak yang berumur kira-kira 10 tahun akan dipilih untuk berlakon sebagai "dewa musim bunga". Selain itu, "lembu" yang diperbuat daripada buluh atau mensiang akan diisikan dengan kacang tanah, walnut dan pisang kaki kering juga akan disediakan untuk aktiviti sambuatan itu. Dalam upacara "sambutan musim bunga", pegawai kerajaan tempatan dan penduduk kampung akan pergi ke ladang tersebut untuk mengalu-alukan kedatangan "dewa musim bunga" dan "dewa lembu". Selepas kedua-dua dewa itu dipersilakan masuk ke kampung, orang ramai akan membakar lilin dan colok serta menyerahkan wain putih sebagai memberi penghormatan kepada dewa tersebut.
Gendang "24 Musim"