Orang China menggemari teh, dan sering menjamu kawan-kawan dan tetamu dengan teh. Teh adalah keperluan dalam kehidupan harian orang China.
Pokok teh berasal dari China. Pada zaman dahulu, selepas menemui pokok teh, orang China mula menggunakan teh untuk tujuan perubatan sebelum teh berkembang sebagai minuman harian. Berdasarkan cara pemprosesan daun teh, teh China boleh dibahagikan kepada teh hijau, teh merah, teh Oolong, teh bunga, teh tuo (daun teh yang dimampatkan menjadi bentuk mangkuk) dan teh batu bata. Setiap kategori teh tersebut pula mempunyai banyak jenis.
Teh hijau tidak diproses melalui penapaian. Teh hijau yang terkenal termasuk teh Longjing dari kawasan Tasik Barat di Hangzhou, teh Biluochun dari provinsi Jiangsu, teh Maofeng dari Gunung Huangshan di provinsi Anhui, dan teh Liu'an Guapian dari kaunti Liu'an di provinsi Anhui.
Teh merah berwarna merah gelap dan diproses melalui kaedah penapaian. Teh merah China yang terkenal adalah teh merah Qi dari provinsi Anhui, dan teh merah Dian dari provinsi Yunnan
Teh Oolong diproses secara separa penapaian. Daun teh jenis ini agak berlerai dan tebal, dan airnya berwarna kuning keemasan. Teh Oolong yang terbaik dikeluarkan di Gunung Wuyi, provinsi Fujian.
Teh bunga yang hanya terdapat di China, dibuat dengan mengasapkan daun teh dengan bunga-bunga wangi. Teh bunga yang paling terkenal ialah teh melur yang dikeluarkan di provinsi Fujian.
Teh Tuo, yang dikeluarkan di provinsi Yunnan dan Sichuan, pula dimampatkan menjadi bentuk ban kukus yang bulat.
Teh batu bata berbentuk seperti batu bata, dan merupakan teh kegemaran etnik-etnik minoriti China termasuk etnik Mongol dan Tibet.
Minum teh bukan sahaja bermanfaat bagi menghilangkan dahaga dan keletihan, tetapi juga boleh membantu penghadaman dan mencegah beberapa penyakit. Pendek kata, minum teh secara kerap berfaedah bagi kesihatan kita.