Lokasi Anda: Laman Utama > Kebudayaan > Cerita Purba > Kandungan

Legenda Hou Ji yang Bertani dan Berladang

2015-01-16 10:54:36

Legenda Hou Ji yang Bertani dan Berladang

Menurut ceritanya, pada suatu zaman dahulu, manusia mencari rezeki dengan berburu, memancing ikan dan mengutip buah-buahan hutan. Namun, disebabkan bekalan bahan makanan mereka tidak mencukupi, mereka sering mengalami kebuluran. Pada masa itu, di Youtai, sebuah tempat di negeri China, terdapat seorang gadis muda bernama Jiang Yuan yang tinggal sendiri tanpa keluarga.

Pada suatu hari, dalam perjalanannya balik ke rumah dari mengutip buah-buahan, Jiang Yuan menemui satu kesan tapak kaki yang besar di suatu kawasan tanah paya. Dia meletakkan kakinya ke atas kesan tapak kaki itu. Sebaik sahaja ibu jari kakinya menyentuh ibu jari pada kesan tapak kaki itu, dia terasa badannya menggeletar. Dia pun terus pulang. Namun, tidak berapa lama selepas itu, Jiang Yuan mendapati dirinya hamil. Sepuluh bulan kemudian, dia pun melahirkan seorang anak lelaki yang sangat comel. Jiran tetangga Jiang Yuan menganggap anak itu petanda buruk kerana tidak diketahui siapakah bapanya. Mereka merampas dan membuang anak itu di sebuah ladang terbiar, dan membiarkannya di situ supaya mati kelaparan. Bagaimanapun, dia telah diselamatkan oleh haiwan-haiwan yang lalu di ladang itu. Beberapa ekor haiwan betina juga telah menyusuinya. Melihat anak itu masih hidup, mereka membuangnya pula ke dalam hutan. Namun, dia diselamatkan pula oleh seorang penebang hutan. Akhirnya, mereka membuangnya di sebuah kawasan sejuk berais. Namun, sebaik sahaja mereka meninggalkan tempat itu, beberapa ekor burung pun turun ke bumi, dan dengan menggunakan sayap, burung-burung tersebut telah melindung anak itu daripada kesejukan.

Akhirnya, orang kampung tersebut mula menyedari bahawa anak itu bukanlah kanak-kanak biasa. Maka, mereka memulangkannya kepada ibunya untuk dibesarkan. Oleh sebab anak itu kerap kali dibuang, Jiang Yuan menamai anaknya itu "Qi", yang bermakna "dibuang".

Sejak kecil, Qi mempunyai cita-cita yang tinggi. Ketika melihat manusia hidup melara, dia terfikir, jika bahan makanan dapat dibekalkan berterusan, hidup mereka pasti akan menjadi lebih baik. Setelah menjalankan penyelidikan yang rapi, Qi pun mengumpulkan benih pelbagai tanaman, seperti gandum, padi, kacang soya, barli dan buah-buahan, lalu menyemai kesemua benih itu di ladang yang diterokainya sendiri. Tidak lama kemudian, ladang yang dijaganya dengan teliti itu, telah membuahkan hasil yang lumayan, dan rasa buah-buahan dari ladangnya itu lebih sedap daripada buah-buahan liar.

Untuk memupuk dan menyuburkan ladangnya supaya menjadi lebih baik, Qi juga membuat alat-alat pertanian dengan menggunakan kayu dan batu. Setelah dewasa, Qi mengajar masyarakat kampungnya kaedah pertanian, yang dikumpulkannya sejak sekian lama. Dengan yang demikian, secara beransur-ansur, mereka berjaya melepaskan diri daripada kehidupan yang hanya bergantung pada berburu, memancing dan mengutip buah-buahan hutan. Sebagai penghargaan terhadap sumbangannya yang luar biasa itu, masyarakat di tempatnya menggelar Qi sebagai "Hou Ji". "Hou" bermakna raja, dan "Ji" bermakna bahan makanan.

Setelah Hou Ji meninggal dunia, masyarakat di tempatnya telah mengebumikannya di suatu kawasan yang sangat indah pemandangannya, iaitu "Duguangzhiye". Tempat itu, kononnya adalah tangga bagi dewa-dewi untuk turun dan naik dari kayangan ke bumi. Tanah di situ dikatakan agak subur sehingga tanam-tanaman dan tumbuh-tumbuhan di sana tumbuh membesar dengan begitu cepat. Setiap musim menuai, iaitu pada musim gugur, kumpulan burung yang diketuai oleh burung Phoenix akan berkumpul di sana, dan menyanyi sambil menari dengan gembira, seolah-olah memujikan jasa Hou Ji yang luar biasa itu.

Anda mungkin berminat

Kalendar

Aktiviti Promosi

Melancong ke Guilin secara Percuma

Like Kembara Sutera di www.facebook.com/kembarasutera, jawap soalan dan tinggalkan komen, anda berpeluang memenangi hadiah melancong ke Guilin secara percuma.

Ikuti Kami

Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin