Lokasi Anda: Laman Utama > Kebudayaan > Tokoh Tersohor > Kandungan

Wu Chengen, Novelis Tersohor pada Zaman Dinasti Ming

2014-12-12 11:15:01

Novel "Catatan Perjalanan ke Barat" merupakan sebuah novel klasik yang termasyhur di China. Cerita dongengan yang diceritakan dalam novel itu diperkenalkan secara meluas dan digemari oleh ramai orang China. Novel itu telah melahirkan pengaruh yang besar bukan sahaja di China bahkan di seluruh dunia. Novel itu ditulis oleh Wu Chengen, novelis tersohor pada zaman Dinasti Ming China.


Wu Chengen, Novelis Tersohor pada Zaman Dinasti Ming

Wu Chengen dilahirkan pada abad ke-16 dalam sebuah keluarga pedagang di Huaian Jiangsu, timur China. Semasa kecil, beliau sangat cerdik dan mempunyai kegemaran yang berbagai-bagai. Beliau pandai melukis dan menulis kaligrafi. Beliau juga gemar akan menulis sajak, menggubah muzik dan bermain catur. Selain itu, beliau juga suka mengumpul karya pelukis dan ahli kaligrafi ternama. Pada masa kanak-kanak, Wu Chengen telah mendapat pujian disebabkan kebolehan beliau dalam bidang kesusasteraan. Cita-cita yang luhur daripada pujangga pada zaman silam China adalah untuk dilantik sebagai pegawai kerajaan menerusi peperiksaan kerajaan. Hal ini tidaklah terkecuali bagi diri Wu Chengen. Disebabkan sistem peperiksaan kerajaan semasa itu dijalankan secara tidak adil dan pegawai yang mengawal peperiksaan itu selalunya menerima rasuah, maka Wu Chengen berkali-kali gagal dalam peperiksaan kerajaan dan tidak berpeluang untuk menjawat jawatan kerajaan. Keadaan ini menjadikan hidupnya dalam kemiskinan dan beliau benci akan masyarakat yang tidak adil. Dalam satu sajak yang ditulisnya, Wu Chengen menyatakan bahawa ketidakadilan masyarakat disebabkan oleh penguasa telah melantik pegawai yang rendah moralnya dan tidak berbakat. Beliau ingin mengubah ketidakadilan itu tetapi tidak berdaya berbuat sedemikian. Disebabkan itulah, beliau menggambarkan kemarahannya terhadap ketidakadilan masyarakat dan mengekspresikan hasrat beliau sendiri menerusi penulisan novel "Catatan Perjalanan ke Barat". "Catatan Perjalanan ke Barat" selesai ditulis oleh Wu Chengen pada masa tuanya. Akan tetapi, beliau telah membuat persiapan seumur hidup bagi menulis novel itu. Semasa kecil, bapanya sentiasa membawanya melawat ke tempat peninggalan sejarah dan menceritakan tentang tempat peninggalan sejarah yang dilawati oleh mereka. Semasa berusia 30 tahun, beliau telah mengumpulkan banyak cerita dan dongengan yang menarik dan telah melahirkan hasrat untuk menulis sebuah novel tentang perkara tersebut.

Wu Chengen, Novelis Tersohor pada Zaman Dinasti Ming

Wu Chengen menyelesaikan penulisan belasan babak dalam novel "Catatan Perjalanan ke Barat" semasa berusia 50 tahun. Selepas tertangguh selama bertahun-tahun, akhirnya beliau menyelesaikan penulisan keseluruhan novel itu semasa beliau sudah berusia lanjut.

Mahaguru Buddha China Xuan Zang yang terkenal pada zaman Dinasti Tang pada abad ke-7 Masihi akhirnya berjaya tiba di India untuk mendapatkan kitab Buddha setelah mengalami pelbagai cabaran dan kesulitan. Novel "Catatan Perjalanan ke Barat" ditulis berdasarkan perjalanan Xuan Zang ke India. Wu Chengen dengan jayanya telah mengolah 4 watak utama dalam novel tersebut iaitu Tang Seng dan 3 orang pengikutnya termasuklah watak utama Sun Wukong. Sun Wukong juga dikenali sebagai Raja Kera yang berani berjuang terhadap sebarang kejahatan bagi mengekspresikan cita-cita beliau sendiri.

"Catatan Perjalanan ke Barat" terdiri daripada seratus episod. Setiap episod mempunyai cerita tersendiri yang lengkap dan seluruh cerita dirangkum menjadi siri cerita yang menarik. Dalam cerita tersebut terdapat pelbagai watak dewa-dewi dan syaitan yang mewakili keadilan dan kejahatan. Novel itu merupakan siri cerita dongeng, manakala cerita-cerita dongeng yang fantasik tersebut merupakan manifestasi dunia insani. Maharaja di langit mempunyai kuasa maha besar, ia menjalankan pentadbiran bersandarkan kepada pegawai-pegawai yang jahat. Syaitan merampas harta benda rakyat, membunuh bahkan memakan manusia. Dengan kaedah ini Wu Chengen mengibaratkan maharaja, birokrat dan pegawai yang menindas dan menganiaya rakyat jelata di dunia insani. Manakala watak Sun Wukong yang berani mencabar sebarang kuasa yang jahat dan dapat mengalahkannya dengan kesaktian yang merupakan jelmaan semula keadilan dan kekuatan di dunia insani, dan telah memperlihatkan hasrat Wu Chengen yang hendak membanteras gejala keji dan perbuatan jahat dalam masyarakat.

"Catatan Perjalanan ke Barat" telah melahirkan pengaruh yang besar dalam sejarah kesusasteraan China. Novel ini sentiasa menjadi sumber pengadaptasian opera sejak beberapa ratus tahun yang lalu dan karya kesusasteraan kanak-kanak, filem dan drama TV pada masa ini. Nama Sun Wukong atau Raja Kera juga termasyhur di seluruh dunia.

Anda mungkin berminat

Kalendar

Aktiviti Promosi

Melancong ke Guilin secara Percuma

Like Kembara Sutera di www.facebook.com/kembarasutera, jawap soalan dan tinggalkan komen, anda berpeluang memenangi hadiah melancong ke Guilin secara percuma.

Ikuti Kami

Kenali Beijing di FacebookCRI di FacebookApp Kembara Sutera di Facebook
Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin