Lokasi Anda: Laman Utama > Kebudayaan > Tokoh Tersohor > Kandungan

Zhang Heng, Ahli Sains China pada 1800 Tahun yang Lalu

2014-11-02 13:56:48

Zhang Heng, Ahli Sains China pada 1800 Tahun yang Lalu

Pada lebih 1,800 tahun yang lampau, ahli sains China Zhang Heng telah berjaya mengesan kejadian gempa bumi dengan menggunakan kemudahan yang diciptanya sendiri. Ini merupakan aktiviti pengesanan gempa bumi yang pertama kalinya dilakukan oleh manusia dengan menggunakan alat pengesan.


Pada tahun 130 Masihi, ahli sains China Zhang Heng telah membuat Alat Pengesan Gempa Bumi Houfeng untuk mengesan kejadian gempa bumi, dan merupakan alat pengesan gempa bumi yang pertama dicipta di dunia. Alat Pengesan Gempa Bumi Houfeng merupakan alat yang berbentuk sfera yang diperbuat daripada tembaga. Garis pusat sfera itu adalah lebih 2 meter. 8 ekor naga yang diperbuat daripada tembaga telah dipasang pada sfera tersebut. Kepala naga-naga itu masing-masing mengarah ke 8 arah yang berbeza dan terdapat satu bebola tembaga yang kecil dalam mulut setiap naga tersebut. Di bahagian bawah 8 naga tersebut terdapat 8 ekor katak yang ternganga yang juga diperbuat daripada tembaga. Apabila gempa bumi berlaku, bebola kecil dalam mulut naga yang mengarah ke arah tempat berlakunya gempa bumi akan terjatuh ke dalam mulut katak yang terletak di bahagian bawahnya itu.

Zhang Heng, Ahli Sains China pada 1800 Tahun yang Lalu

Setelah Alat Pengesan Gempa Bumi Houfeng selesai dicipta, alat itu telah ditempatkan di Luoyang, ibu negara zaman Dinasti Han China. Akan tetapi, ada yang meragui alat pengesan gempa bumi yang diciptakan oleh Zhang Heng itu. Suatu hari pada tahun 138 Masihi, mulut seekor naga yang mengarah ke arah sebelah barat pada sfera tersebut terbuka dan bebola kecil dalam mulut naga itu terjatuh ke dalam mulut katak di bahagian bawahnya. Ini menunjukkan bahawa gempa bumi telah berlaku di suatu tempat yang terletak di sebelah barat Luoyang. Namun, oleh sebab penduduk di Luoyang yakni di bahagian tengah China tidak menyedari akan berlakunya gempa bumi, maka ramai orang berpendapat bahawa alat pengesan gempa bumi yang diciptakan oleh Zhang Heng itu tidak dapat mengesan secara tepat gempa bumi yang berlaku. Tidak beberapa lama selepas itu, pegawai tempatan di Longxi di sebelah barat Luoyang iaitu provinsi Gansu di bahagian barat China pada masa ini telah melaporkan berita bahawa gempa bumi telah berlaku di sana. Keadan ini telah melenyapkan keraguan orang ramai terhadap Alat Pengesan Gempa Bumi Houfeng yang dibuat oleh Zhang Heng itu. Walaupun alat pengesan gempa bumi itu hanya dapat mengesan arah tempat berlakunya gempa bumi, namun alat itu merupakan sejenis alat pengesan gempa bumi yang paling maju di dunia pada masa itu.

Zhang Heng dilahirkan pada tahun 78 Masihi. Sejak dari kecil lagi, beliau telah berminat pada kesusasteraan dan pernah menulis "Perihal Dongjing" dan "Kisah Xijing" yang terkenal ketika berusia 30 tahun. Kemudian, minat Zhang Heng telah beralih ke bidang falsafah dan astronomi khususnya ilmu-ilmu falak, almanak dan matematik. Pada tahun 111 Masihi, beliau telah menjawat jawatan sebagai pegawai yang bertanggungjawab atas ilmu-ilmu falak, almanak, pengukuran dan laras muzik. Dalam tempoh menjawat jawatan itu, beliau telah menjalankan kajian yang mendalam terhadap ilmu-ilmu falak dan almanak dan telah membuat sumbangan yang besar dalam penyelidikan dan perkembangan ilmu-ilmu tersebut dan dalam tempoh itu jugalah Zhang Heng mengkaji dan mencipta Alat Pengesan Gempa Bumi Houfeng.


Zhang Heng telah menulis banyak buku dalam bidang astronomi, antaranya yang paling terkenal ialah "Lingxian". Teori dalam bidang astronomi tentang pembentukan dan operasi langit, bumi, matahari, bulan dan bintang telah dihuraikan oleh Zhang Heng dalam buku tersebut. Dalam buku itu juga beliau telah melahirkan pandangannya bahawa kosmos adalah amat luas, panjang dan tak kunjung habis sama ada dari segi ruang ataupun dari segi masa. Beliau berpendapat bahawa bulan tidak boleh bersinar, sinaran bulan adalah refleksi daripada sinaran matahari. Pendapat beliau itu merupakan pendapat baru yang berbeza dengan pendapat yang popular pada masa itu. Dalam sebuah buku lain tentang ilmu falak yang ditulis oleh Zhang Heng, beliau telah menghuraikan hasil kajian beliau iaitu masa yang diambil oleh bumi untuk mengelilingi matahari sebanyak satu pusingan adalah sepanjang 365 hari dan 6 jam. Ini telah menghampiri masa setahun yang diukur oleh ahli astronomi zaman moden. Ini menunjukkan bahawa hasil kajian Zhang Heng dalam bidang astronomi pada masa itu telah mencapai tahap yang sangat tinggi.

Anda mungkin berminat

Kalendar

Aktiviti Promosi

Melancong ke Guilin secara Percuma

Like Kembara Sutera di www.facebook.com/kembarasutera, jawap soalan dan tinggalkan komen, anda berpeluang memenangi hadiah melancong ke Guilin secara percuma.

Ikuti Kami

Kenali Beijing di FacebookCRI di FacebookApp Kembara Sutera di Facebook
Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin