Permulaan Musim Bunga

   

Berikutnya, kami akan perkenalkan penggal pertama dalam "24 Musim" iaitu "Permulaan Musim Bunga". Hari "Permulaan Musim Bunga" menandakan ketibaan musim bunga di China dan biasanya jatuh pada 4 Februari setiap tahun. Tahun Baru China tidak semestinya jatuh pada hari "Permulaan Musim Bunga". Misalnya, Tahun Baru China bagi tahun ini disambut pada 18 Februari, iaitu lewat 14 hari daripada hari "Permulaan Musim Bunga". Bagi kaum tani, "Permulaan Musim Bunga" juga menandakan bermulanya musim penyemaian benih atau penanaman, kerana dalam dunia alam semula jadi, musim bunga merupakan musim bertunas dan mula tumbuh serta haiwan terjaga daripada tidur pada sepanjang musim sejuk. Bermula dari hari "Permulaan Musim Bunga" suhu udara, sinaran matahari dan sukatan hujan akan menjadi semakin bertambah. Selepas hari itu, segala tamanan pertanian juga bertumbuh semakin pesat dan memerlukan lebih banyak air. Maka, bermula dari hari itulah, kaum tani akan lebih giat bercucuk tanam, lebih kerap menyiram dan menggunakan baja untuk menambah kesuburan tanah. Oleh sebab China merupakan sebuah negara pengeluar keluaran pertanian yang besar, maka kaum tani di China lebih mementingkan hari "Permulaan Musim Bunga".

Sempena ketibaan hari "Permulaan Musim Bunga", rakyat China pada zaman purba akan mengadakan pelbagai aktiviti untuk menyambut permulaan penggal itu. Dalam pada itu, "sambutan musim bunga" merupakan adat istiadat yang paling penting. Istiadat itu diadakan sehari sebelum hari"Permulaan Musim Bunga" yang bertujuan untuk mengalu-alukan kedatangan "musim bunga" dan "dewa musim bunga". Orang ramai akan membina pondok di kawasan ladang mereka dan menyediakan lilin, colok dan wain putih. Seorang kanak-kanak yang berumur kira-kira 10 tahun akan dipilih untuk berlakon sebagai "dewa musim bunga". Selain itu, "lembu" yang diperbuat daripada buluh atau mensiang akan diisikan dengan kacang tanah, walnut dan pisang kaki kering juga akan disediakan untuk aktiviti sambuatan itu. Dalam upacara "sambutan musim bunga", pegawai kerajaan tempatan dan penduduk kampung akan pergi ke ladang tersebut untuk mengalu-alukan kedatangan "dewa musim bunga" dan "dewa lembu". Selepas kedua-dua dewa itu dipersilakan masuk ke kampung, orang ramai akan membakar lilin dan colok serta menyerahkan wain putih sebagai memberi penghormatan kepada dewa tersebut.

Adat resam "memukul lembu" sempena hari "Permulaan Musim Bunga" juga terdapat di sesetengah kawasan desa China pada masa lampau. Sebelum hari "Permulaan Musim Bunga", seekor "lembu" yang diperbuat daripada tanah liat akan disediakan untuk upacara "memukul lembu". Dalam upacara itu, para ibu akan mendukung anak mereka dan berjalan mengelilingi "lembu" itu sebanyak tiga pusingan. Dengan berbuat sedemikian, kononnya anak itu tidak akan sakit pada tahun ini. Selepas itu, seorang tua akan menyebat "lembu" itu sebanyak tiga kali bagi mengumumkan bermulanya aktiviti pertanian pada tahun yang baru. Akhirnya, penduduk kampung beramai-ramai akan menyebat "lembu" itu sehingga hancur dan menjadi tanah liat, lalu membahagi-bahagikan tanah liat itu kepada semua keluarga untuk disebarkan di atas tanah tanaman mereka bagi mendoakan perolehan hasil tuaian yang baik.

Semasa ketibaan hari "Permulaan Musim Bunga", rakyat China juga mempunyai kebiasaan memakan "roti musim bunga", lobak dan rempah-rempah yang terdiri daripada bawang, halia, bawang putih dan lain-lain. Selain itu, orang China juga mempunyai tradisi iaitu memakan roti gulung goreng yang berinti. Sempena hari "Permulaan Musim Bunga", roti gulung goreng yang berinti itu boleh dibeli di mana-mana termasuk di tepi jalan. Di sesetengah tempat yang lain, penduduk tempatan juga mempunyai kebiasaan memasak sayur yang segar-segar untuk dimakan pada hari "Permulaan Musim Bunga". Katanya, memakan masakan sayur boleh mengelakkan daripada menghidap penyakit.


Terdapat satu peribahasa China berbunyi: "kerja sepanjang tahun bergantung kepada permulaan yang baik pada musim bunga". Ketibaan hari "Permulaan Musim Bunga" bukan sahaja mengingatkan kaum tani tentang bermulanya pekerjaan di ladang, tetapi juga mengingatkan semua orang bahawa ini menandakan permulaan bagi tahun yang baru. Orang China semuanya akan diajarkan peribahasa itu sejak kecil, supaya mereka dapat membuat perancangan bagi pemelajaran dan kehidupan pada setiap permulaan tahun.

Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin