Air Hujan

   

Air Hujan (Yu Shui) merupakan penggal yang kedua dalam Kalendar 24 Musim China. Penggal ini diberikan nama “Air Hujan” kerana dalam penggal ini, suhu udara akan beransur-ansur naik, manakala ais dan salji mula mencair serta hujan kian kerap. Penggal Air Hujan biasanya bermula dari 18 atau 19 Februari dan berakhir pada 4 atau 5 Mac setiap tahun. Air Hujan membawa dua makna utama. Pertama, cuaca menjadi nyaman semula; dan kedua, salji semakin berkurang, sebaliknya hujan semakin banyak.

Sesampainya penggal Air Hujan, suhu di kebanyakan kawasan di China akan naik ke lebih tinggi daripada 0℃. Suhu purata harian di dataran Sungai Huang dan Sungai Huai akan mencatat 3℃, manakala suhu purata di selatan Sungai Yangtze pula lebih kurang 5℃. Namun suhu purata di kawasan utara China masih kekal di bawah sifar. Ada pepatah China yang membawa maksud “hujan yang turun pada musim bunga lebih berharga daripada minyak”. Ini mencerminkan betapa pentingnya hujan untuk membantu pertumbuhan tanam-tanaman pada penggal ini.

Walaupun ketibaan penggal Air Hujan menandakan cuaca menjadi semakin nyaman, namun peraliran udara sejuk di utara China masih agak aktif sehingga menyebabkan perubahan cuaca kurang stabil. “Chun Wo” bermaksud “terus memakai baju tebal walaupun sudah sampai musim bunga”. Ini merupakan satu prinsip penjagaan kesihatan dari segi menyesuaikan pakaian mengikut perubahan iklim lebih-lebih lagi di kawasan utara China pada musim bunga yang diwarisi dari zaman dahulu kala. Pada awal musim bunga di utara China, perbezaan suhu udara agak besar, jadi orang digalakkan jangan tergesa-gesa menukar kepada pakaian yang nipis, sebaliknya perlu lebih berjaga-jaga untuk mengekalkan kepanasan badan.

Kuman dan virus penyakit mudah merebak ekoran angin kencang semasa penggal ini. Jadi musim bunga juga merupakan masa mudah tercetusnya wabak penyakit berjangkit. Oleh itu, orang digalakkan terus melakukan aktiviti senaman dan makan makanan yang berkhasiat untuk meningkatkan keimunan dan mencegah penyakit. Madu, kurma, keladi dan kulat putih sesuai dimakan pada masa ini.

Di kawasan barat provinsi Sichuan, terdapat adat resam kalangan rakyat yang sungguh unik yang diamalkan pada penggal Air Hujan, iaitu “La Bao Bao”. “Bao Bao” sini merujuk kepada bapa angkat, namun bapa angkat ini tidak semestinya lelaki. Penduduk di kawasan tersebut mengamalkan kelaziman untuk menilik nasib anak masing-masing. Mereka akan bertanya sama ada anak mereka memerlukan bapa angkat. Tujuan mencari bapa angkat ialah untuk menjamin anak mereka dapat membesar dengan sihat dan sejahtera. Amalan ini mungkin berkaitan dengan keadaan perubatan yang agak mundur pada zaman dahulu, dan ramai kanak-kanak yang jatuh sakit tidak dapat diubati ketika itu. Jadi ibu bapa berharap anak mereka kekal sihat dengan dilindungi “kuasa” bapa angkat.

Pada waktu subuh, wanita muda berhimpun di tepi jalan dengan membawa anak kecil mereka untuk menunggu pejalan kaki. Apabila ada orang berlalu, tidak mengira orang itu wanita atau lelaki, tua atau muda, mereka akan menghalang orang tersebut dan menyuruh anak mereka “kowtow” atau menyembah sujud kepada orang tersebut sebagai tanda menjadi anak angkatnya. Cara mencari bapa angkat ini dilakukan tanpa menyasarkan mana-mana orang tertentu. Tujuannya adalah mendoakan anak mereka dapat membesar dengan sihat. Adat resam seumpama ini masih lagi diamalkan di sesetengah kawasan desa. Namun, orang bandar pula akan mencari kawan atau kenalan untuk dijadikan bapa angkat kepada anak mereka.

Di kawasan barat provinsi Sichuan, selain daripada mencari bapa angkat, wanita yang telah berkahwin perlu mengunjungi ibu bapa mereka semasa penggal Air Hujan. Wanita yang telah mendapat anak perlu membawa hadiah sebagai tanda terima kasih kepada ibu bapa, manakala bagi mereka yang masih belum mendapat anak, ibu mereka akan menjahitkan sehelai seluar merah. Mereka percaya wanita akan cepat mendapat anak melalui cara ini. Adat resam ini masih diamalkan di kawasan desa.

Berita:
Berita Galeri
Pelancongan:
Destinasi Mempesona Tarikan Bandar Warisan Budaya Melancong Bersama Editor Panduan Pelancong Galeri Majalah
Kebudayaan:
Budaya Tradisi Cerita Purba Tokoh Tersohor Opera Alat Muzik Klasik Kraf Tangan Pakaian Tradisi
Santai:
Makanan Hiburan Kesihatan Sukan
Sinar Islam:
Masjid Budaya Islam Etnik Minoriti Restoran Halal
Video:
Video
China ABC:
China ABC
Belajar Mandarin:
Belajar Mandarin